
TUMPAT, 8 Oktober — Seorang wanita warga Thailand dipercayai menceroboh masuk ke Malaysia melalui pangkalan haram Paija, Pengkalan Kubor semalam, bagi mencari suaminya yang juga warga tempatan.
- Dua wanita berusia 25 dan 15 tahun ditahan kira-kira pukul 2 petang oleh anggota PGA.
- Mereka ditemui di tebing sungai dalam keadaan mencurigakan dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
- Kes diserahkan kepada JSJ IPD Tumpat dan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Ahmad Radzi Husain berkata, wanita berusia 25 tahun itu ditahan bersama adiknya yang berusia 15 tahun kira-kira pukul 2 petang.
“Anggota mengesan kedua-duanya berada di tebing Sungai Pengkalan Haram dalam keadaan mencurigakan sebelum meminta mereka mengemukakan dokumen pengenalan diri.
“Bagaimanapun, kedua-duanya gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah sebelum ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua wanita itu mengaku memasuki Malaysia dari Thailand melalui pangkalan haram Paija.
Menurutnya, wanita berusia 25 tahun itu memaklumkan dia datang ke Malaysia untuk mencari suaminya, seorang warga Malaysia yang tinggal di Bachok, selepas hampir dua bulan tidak pulang ke rumah.
Kedua-dua tangkapan kemudian diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.