181 PATI ditahan dalam operasi mega di Chow Kit

PATI ditahan di sekitar Pasar Chow Kit

KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Seramai 181 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan berskala besar oleh Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di sekitar Pasar Chow Kit, di sini, pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi melibatkan 264 pegawai Imigresen dan kerjasama PDRM, JPN, DBKL serta JBPM.
  • Seramai 512 individu diperiksa; beberapa individu ditahan atas disyaki kesalahan imigresen.
  • Penggunaan dron membantu mengesan warga asing cuba melarikan diri; JBPM membantu penahanan.
  • Imigresen memantau 224 lokasi panas termasuk Pasar Chow Kit; operasi akan diteruskan terhadap pelanggaran undang-undang.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, operasi mega itu melibatkan 264 pegawai dan anggota Imigresen dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Hasil serbuan ini, seramai 512 individu telah diperiksa dan 181 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah akta berkaitan.

“Semasa operasi dijalankan, terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung. Bagaimanapun, penggunaan teknologi dron berjaya mengesan kedudukan mereka sebelum pegawai imigresen, dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), berjaya menahan mereka,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan, di sini.

Kesemua individu yang ditahan berusia antara 10 hingga 55 tahun, terdiri daripada 147 warga Indonesia, 20 warga Bangladesh, lima warga Nepal, tiga warga India, seorang warga Pakistan dan lima warga negara lain dan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, Datuk Lokman berkata, Imigresen sentiasa memantau 224 lokasi tumpuan atau kawasan panas di seluruh negara, termasuk Pasar Chow Kit yang dikenal pasti sebagai antara lokasi pemantauan berterusan pihak berkuasa.

Menurutnya, operasi itu merupakan serbuan kali kedua di lokasi berkenaan tahun ini, hasil risikan bagi mengenal pasti masa yang sesuai untuk tindakan penguatkuasaan.

Beliau menegaskan bahawa tiada kawasan terkecuali daripada tindakan penguatkuasaan dan operasi akan diteruskan sekiranya aktiviti yang melanggar undang-undang imigresen masih berlaku.

“Kita ingatkan majikan supaya tidak melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta Imigresen kerana mereka juga akan terdedah kepada tindakan undang-undang di bawah akta ini.

“Warga tempatan yang cuba membantu warga asing ini juga boleh dikenakan tindakan kerana boleh disabitkan dengan kesalahan melindungi mana-mana warga asing yang tidak sah berada di dalam negara kita,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.