
LAS VEGAS, 22 November – George Russell akui membuat kesilapan pada penghujung Grand Prix (GP) di Las Vegas menyebabkan peluangnya memburu kemenangan berkecai, sekali gus menyaksikan pelumba Mercedes itu terpaksa berpuas hati di tempat kesembilan.
- Memulakan dari petak kedua, George beberapa kali berjaya merampas kedudukan pendahulu awal daripada Max Verstappen.
- Perlumbaan menyaksikan lebih 30 pertukaran pendahulu, menunjukkan persaingan sengit dan strategi tenaga sangat berbeza.
- Dengan baki tiga pusingan, percubaan memintas di selekoh lima menyebabkan beliau terkunci brek, terbabas dan merempuh penghadang.
- Beliau akui risiko terlalu tinggi, menerima akibatnya, dan berkata bukan cara yang diharapkan untuk menamatkan perlumbaan.
George yang memulakan perlumbaan 50 pusingan dari petak kedua pada awalnya memberi saingan sengit kepada Max Verstappen.
Memetik laman rasmi F1, George dilaporkan beberapa kali berjaya merampas kedudukan pendahuluan pada awal perlumbaan daripada pelumba Red Bull itu.
Perlumbaan yang menyaksikan lebih 30 pertukaran pendahulu itu berlangsung sengit apabila kedua-dua pelumba saling memintas.
George menyifatkan perlumbaan itu cukup unik berikutan penggunaan aliran angin daripada jentera di hadapan dan strategi tenaga berbeza yang memberikan persaingan sengit.
Namun, saingan George mula terjejas apabila beliau merosot ke tempat ketiga di belakang rakan sepasukannya, Kimi Antonelli pada penghujung perlumbaan.
Berbaki tiga lagi pusingan, George cuba memintas Kimi di selekoh kelima bagi mendapatkan semula kedudukan kedua dan kembali mencabar Verstappen.
Bagaimanapun, percubaan itu membawa padah apabila beliau terkunci brek ketika berada di luar garisan perlumbaan sebelum terbabas dan merempuh penghadang.
George kembali ke litar, namun gagal memperbaiki kedudukannya dan menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan selepas dipintas Carlos Sainz dari Williams menjelang garisan penamat.
Mengulas insiden itu, George berkata beliau menyedari kedudukan kedua diperlukan sebelum pusingan terakhir sekiranya mahu mencabar kemenangan.
“Saya tahu saya perlu berada di tempat kedua sebelum memasuki pusingan terakhir jika mahu memenangi perlumbaan.
“Kimi tidak mempunyai mod memotong (Overtake Mode) kerana dia berada di hadapan Max pada penghujung pusingan sebelumnya, jadi saya merasakan itu peluang saya.
“Risikonya terlalu tinggi dan saya terpaksa menanggung akibatnya. Jika mengambil pendekatan lebih berhati-hati, mungkin saya boleh menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
“Sudah tentu saya tidak gembira, tetapi saya tidak menyesali apa yang berlaku. Cuma, bukan begini cara yang saya harapkan untuk menamatkan perlumbaan,” katanya.