PGA rampas 5,960 batang rokok seludup dalam dua serbuan berasingan

Dua lelaki ditahan dalam dua serbuan berasingan di Rantau Panjang yang membawa kepada rampasan 5,960 batang rokok disyaki diseludup/Foto PGA Briged Tenggara

PASIR MAS, 8 Oktober — Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 5,960 batang rokok dipercayai diseludup dari Thailand bernilai RM11,272.80 dalam dua serbuan berasingan di Rantau Panjang, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • PGA Briged Tenggara jalankan operasi bawah Op Taring Wawasan Kelantan yang membawa kepada dua serbuan.
  • Serbuan pertama di Kampung Kedap temui guni mengandungi 2,200 rokok putih dan 240 rokok kretek; seorang lelaki 27 tahun ditahan.
  • Serbuan kedua di Bukit Tandak rampas 2,600 rokok putih dan 920 rokok kretek; seorang lelaki 65 tahun ditahan.
  • Semua suspek dan barang diserahkan kepada JSJ IPD Pasir Mas; kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Husain berkata, operasi menerusi Op Taring Wawasan Kelantan itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki dalam serbuan di dua rumah kedai berasingan.

Beliau berkata, serbuan pertama kira-kira pukul 11 pagi di sebuah rumah kedai di Kampung Kedap dan menemukan satu guni mengandungi 2,200 batang rokok putih dan 240 batang rokok kretek bernilai RM4,589.20.

“Rokok berkenaan dipercayai diseludup dari Thailand melalui laluan tidak diwartakan sebelum disimpan di premis terbabit.

“Seorang lelaki berusia 27 tahun yang mengaku sebagai pemilik rumah kedai berkenaan turut ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

2,440 batang rokok disyaki diseludup dari Thailand dirampas PGA/Foto PGA Briged Tenggara

Dalam serbuan kedua kira-kira pukul 11.30 pagi di sebuah rumah kedai di Bukit Tandak, anggota PGA menemukan 2,600 batang rokok putih dan 920 batang rokok kretek bernilai RM6,683.60.

Ahmad Radzi berkata, seorang lagi lelaki berusia 65 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis turut ditahan dalam serbuan berkenaan.

Menurutnya, lelaki itu memaklumkan mendapatkan bekalan rokok daripada seorang individu di Kampung Kedap.

“Suspek mendakwa mengambil bekalan rokok berkenaan dua kali seminggu sebelum menjualnya di sekitar kawasan berkenaan,” katanya.

Kesemua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.