DBKL sasar kurangkan empat lagi hotspot banjir

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Jumlah ‘hotspot’ banjir di Kuala Lumpur berkurangan daripada 30 kepada 14 dalam tempoh tiga tahun lalu, dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini menyasarkan pengurangan empat lokasi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Usaha mitigasi diperhebatkan melalui penyelenggaraan perparitan, pendalaman sungai dan pembinaan kolam takungan air hujan.
  • Penyelenggaraan kini dijalankan enam kali setahun bagi menangani taburan hujan yang tinggi.
  • DBKL kendalikan sembilan kolam, enam dalam pembinaan, enam lagi dikaji; 28 kolam DBKL/JPS meliputi 737 ekar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata pengurangan itu susulan usaha mitigasi banjir yang dipergiatkan, termasuk penyelenggaraan sistem perparitan, kerja-kerja mendalamkan sungai dan pembinaan kolam takungan air hujan.

“Sekarang ini, ia sudah ditambah kepada enam kali setahun bagi menangani taburan hujan yang tinggi.

“Dan akhir sekali, bagi ‘hotspot’ ini, dalam tempoh tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, jumlah ‘hotspot’ banjir telah berkurangan daripada 30 kepada 14.

“Datuk Bandar Kuala Lumpur kini memberi fokus untuk mengurangkan empat lagi ‘hotspot’ ini dengan mengambil langkah-langkah pembersihan yang lebih berkala,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Roslan Hashim di Dewan Rakyat d sini.

Tambah beliau, DBKL kini mengendalikan sembilan kolam takungan air hujan, manakala enam lagi sedang dalam pembinaan, termasuk kemudahan utama di Padang Merbok.

Enam lagi kolam takungan turut sedang dikaji, selain 67 kolam takungan yang dibangunkan menerusi projek swasta di seluruh ibu negara.

Sementara itu, Kuala Lumpur mempunyai 28 kolam takungan banjir di bawah seliaan DBKL dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Keseluruhan kolam berkenaan meliputi kawasan seluas 737 ekar dengan kapasiti penyimpanan sebanyak 13.1 juta meter padu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.