Pampasan pekerja 40 peratus menjelang 2030

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) menyasarkan sumbangan pampasan pekerja (PP) kepada KDNK sebanyak 40 peratus menjelang 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan mempercepat transformasi struktur ekonomi ke arah ekonomi bernilai tinggi dipacu inovasi, pendigitalan, teknologi termaju dan aktiviti berintensifkan pengetahuan.
  • Sumbangan pampasan pekerja kepada KDNK meningkat sedikit antara 2024 dan 2025 menunjukkan trend kenaikan gaji berperingkat.
  • Transformasi struktur dijangka mewujudkan lebih banyak pekerjaan mahir dengan gaji lebih tinggi.
  • Pelan seperti NIMP 2030, Strategi Semikonduktor Nasional dan NETR akan menarik pelaburan berkualiti bagi peluang pekerjaan mahir dalam sektor HGHV dan strategik.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata, kerajaan akan mempercepatkan transformasi struktur ekonomi ke arah ekonomi bernilai tinggi yang dipacu inovasi, pendigitalan, penggunaan teknologi termaju dan aktiviti berintensifkan pengetahuan.

Beliau memaklumkan sumbangan PP kepada KDNK adalah sebanyak 33.9 peratus pada 2025, berbanding 33.6 peratus pada 2024, meningkat sebanyak 0.3 peratus.

“Transformasi struktur ini mampu mewujudkan lebih banyak pekerjaan mahir yang menawarkan gaji yang lebih tinggi.

“Pelaksanaan hala tuju strategik negara seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) akan dapat menarik lebih banyak pelaburan berkualiti.

“Pelaburan baharu ini dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan mahir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Mohd Syahir Che Sulaiman (Bachok) yang meminta untuk menyatakan strategi kerajaan meningkatkan bahagian PP kepada 40% daripada KDNK menjelang 2030 termasuk langkah memastikan peningkatan gaji pekerja selari dengan pertumbuhan produktiviti.

Datuk Seri Mohd Shahar  berkata tumpuan juga turut diberikan kepada industri pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV) serta sektor strategik berimpak tinggi bagi mempercepat peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.