Pemansuhan penuh AUKU dilaksana secara berfasa

Datuk Seri Dr. Zambry / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Pemansuhan penuh Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) akan dilaksana secara berfasa bagi mengelak kelompangan perundangan yang boleh menjejaskan penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti awam.

RINGKASAN BERITA AI
  • AUKU bukan hanya berkaitan mahasiswa; ia merupakan asas perundangan penting kepada operasi universiti awam.
  • Kementerian sedang membangunkan Akta Satu Pendidikan Tinggi (OHEA) sebagai kerangka perundangan baharu menyeluruh.
  • Pembangunan OHEA meneliti tujuh akta utama termasuk AUKU, Akta IPTS 1996, Akta UiTM 1976 dan Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996.
  • Tindakan tatatertib lama terhadap mahasiswa digugurkan sementara kecuali untuk kes serius yang tertakluk kepada undang-undang.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir memaklumkan, langkah itu penting kerana AUKU bukan hanya mengandungi peruntukan berkaitan mahasiswa, malah menjadi antara asas perundangan utama kepada pengoperasian universiti awam.

Jelasnya, dalam proses menuju pemansuhan penuh, KPT sedang membangunkan Akta Satu Pendidikan Tinggi (OHEA) sebagai kerangka perundangan baharu yang lebih menyeluruh bagi ekosistem pendidikan tinggi negara.

Pembangunan OHEA turut melibatkan penelitian terhadap tujuh akta utama berkaitan tadbir urus pendidikan tinggi, termasuk AUKU, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, Akta Universiti Teknologi MARA 1976 dan Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996.

“Antara langkah yang akan kita lakukan ialah menggabungkan kesemua kerangka ini supaya hanya ada satu Akta Pendidikan Tinggi atau One Higher Education Act.

“Ini turut mengambil kira perubahan dalam pendidikan tinggi ketika ini, termasuk kedudukan politeknik yang tidak lagi boleh dilihat seperti dahulu kerana perkembangannya berlaku dengan begitu pantas,” katanya.

Beliau menyatakannya ketika menjawab soalan ahli parlimen Batu Gajah, V.N Dr. Sivakumar pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr. Zambry memberi jaminan bahawa tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap mahasiswa sebelum ini akan digugurkan sementara proses pindaan undang-undang dan penggubalan akta baharu berkaitan pendidikan tinggi diteruskan.

Bagaimanapun, langkah itu tidak terpakai bagi kes yang melibatkan perkara serius dan tertakluk kepada peruntukan undang-undang negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.