Kerajaan perkukuh kerjasama ASEAN tangani isu jerebu

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto Pejabat Perdana Menteri

PUTRAJAYA, 8 Oktober – Kerajaan memperkukuh kerjasama dengan negara-negara ASEAN bagi menangani situasi jerebu yang terus berlarutan sekali gus menjejaskan kesihatan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri arah Menteri Luar hubungi negara-negara ASEAN, cadang mesyuarat menteri-menteri serantau.
  • Kerajaan memantau situasi, melaksanakan pelbagai langkah yang sepatutnya untuk menangani jerebu.
  • Operasi pembenihan awan diteruskan hampir lapan hari oleh TUDM dan agensi berkaitan.
  • Jerebu membimbangkan, menjejaskan kesihatan; 38 kawasan rekod IPU pada tahap tidak sihat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu termasuk mengadakan perbincangan serta mesyuarat di peringkat menteri-menteri ASEAN.

“Kerajan akan terus berusaha mencuba untuk menangani situasi jerebu ini. Sebentar tadi, saya sekali lagi telah meminta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menghubungi negara-negara ASEAN. Kalau boleh, sekali lagi mengadakan mesyuarat dan gerakan menteri-menteri ASEAN yang berkaitan.

“Ini semua langkah yang kita usahakan. Kita memantau dan berusaha menangani situasi jerebu dengan melakukan pelbagai langkah yang sepatutnya,” katanya lagi.

Datuk Seri Anwar berkata demikian selepas mengadakan Tinjauan Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Tambah beliau, kerajaan juga akan terus mengambil langkah-langkah sewajarnya dalam menangani situasi jerebu termasuk meneruskan operasi pembenihan awan.

“Situasi jerebu ketika ini membimbangkan dan memberi kesan terhadap kesihatan rakyat.

“Sehubungan itu, kita terus mempergiat usaha termasuk melaksanakan hampir lapan hari pembenihan awan dan hujan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan beberapa agensi berkaitan,” katanya lagi.

Ketika ini, jerebu terus menjejaskan negara apabila 38 kawasan mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 1 tengah hari tadi.

Antara kawasan yang merekodkan bacaan tertinggi ialah Segamat dengan IPU 189, diikuti Seremban (185), Nilai (184), Kluang (181), Johan Setia (179), Rompin (177), Larkin dan Pasir Gudang masing-masing 175 serta Cheras (174).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.