
KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini bertitah agar keselamatan dan kesihatan murid diutamakan dalam menghadapi jerebu yang sedang melanda negara.
- Nasihat penutupan sekolah di kawasan terjejas apabila IPU mencatat antara 150 dan 180 secara berpanjangan.
- Kementerian Pendidikan dan agensi berkaitan mesti mengambil langkah segera melindungi murid, warga emas dan pesakit respiratori.
- Sentiasa berjaga-jaga: pakai pelitup muka dan kurangkan aktiviti luar; Johor menutup sekolah dua hari sebagai contoh.
Menerusi perkongsian di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda turut menasihatkan penutupan sekolah di kawasan terjejas, terutamanya yang mencatatkan tahap Indeks Pencemar Udara (IPU) antara 150 dan 180 secara berpanjangan.
“Kementerian Pendidikan (KPM) mesti memberi perhatian serius terhadap perkara berkenaan (jerebu), langkah sewajarnya perlu diambil oleh kementerian dan agensi berkenaan bagi melindungi murid dan pelajar, termasuk warga emas serta pesakit respiratori.
“Sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi menjaga kesihatan serta mengamalkan pemakaian pelitup muka dan mengurangkan sebarang aktiviti luar susulan keadaan jerebu,” titah Seri Paduka Baginda.
Semalam, Johor mengumumkan penutupan sekolah selama dua hari atas titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, susulan keadaan jerebu serta kemerosotan kualiti udara di seluruh negeri berkenaan.