
PUTRAJAYA, 8 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau kesiapsiagaan akhir Belanjawan 2027 di Kompleks Kementerian Kewangan (MoF), Putrajaya, hari ini.
- Belanjawan 2027 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 3.30 petang esok.
- Belanjawan MADANI 2027 menekankan pembelaan rakyat, pengukuhan ekonomi dan pembangunan negara yang lebih mampan serta inklusif.
- Belanjawan menggariskan 10 tumpuan termasuk keadilan sosial, perlindungan terhadap kos sara hidup dan pengukuhan perlindungan sosial.
Ketibaan Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan disambut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.
Dalam lawatan itu, Perdana Menteri turut beramah mesra dengan warga kementerian serta menandatangani beberapa dokumen penting berkaitan Belanjawan MADANI 2027.
Seramai 255 pegawai dan kakitangan daripada pelbagai bahagian di MoF termasuk Bahagian Cukai, Fiskal dan Ekonomi 55, Antarabangsa, Pejabat Belanjawan Negara serta Pasukan Bajet, terlibat dalam penyediaan dokumen Belanjawan 2027.
Belanjawan berkenaan dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 3.30 petang esok.
Sebelum ini, Perdana Menteri menegaskan Belanjawan MADANI 2027 akan mencerminkan keutamaan kerajaan dalam membela rakyat, memperkukuh ekonomi serta meningkatkan asas pembangunan negara yang lebih mampan dan inklusif.
Belanjawan 2027 menggariskan 10 tumpuan utama, antaranya memperkukuh keadilan sosial dan pembangunan untuk semua, melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup serta memperkasakan perlindungan sosial.
Belanjawan 2027 akan menjadi Belanjawan MADANI yang kelima dan belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.V