
PUTRAJAYA, 8 Oktober – Malaysia menggesa Indonesia untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi menangani situasi jerebu yang memberi kesan kepada kualiti udara negara sekali gus menjejaskan kesihatan rakyat.
- Malaysia menggesa Indonesia mengambil langkah sewajarnya menangani jerebu yang menjejaskan kualiti udara dan kesihatan rakyat.
- Perdana Menteri menghubungi Presiden melalui panggilan dalam talian; Presiden bersetuju mengambil langkah perlu.
- Menteri Luar dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam turut menghubungi rakan sejawat mereka untuk koordinasi.
- Malaysia menawarkan segala bentuk bantuan dan kerjasama untuk mengurangkan impak jerebu terhadap kesihatan awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibangkitkannya kepada Presiden, Prabowo Subianto menerusi satu panggilan dalam talian.
“Situasi jerebu ini memang pada tahap sangat membimbangkan. Justeru, saya telah menghubungi Presiden, Prabowo dan beliau telah bersetuju mengambil langkah-langkah yang perlu.
“Seterusnya, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup turut menghubungi rakan sejawat mereka,” katanya.
Datuk Seri Anwar berkata, Malaysia turut menawarkan segala bentuk bantuan dan kerjasama kepada republik itu bagi mengurangkan situasi jerebu.
“Sejak beberapa minggu lalu, kita telah menyatakan kesediaan kita untuk membantu dalam apa juga bentuk kerjasama kerana situasi ini membimbangkan sehingga memberi kesan kepada kesihatan rakyat,” katanya lagi.
Beliau ditemui selepas melakukan tinjauan Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.