PM raikan Presiden Myanmar dalam jamuan tengah hari

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Myanmar, Ming Aung Hlaing / Foto Pejabat Perdana Menteri

PUTRAJAYA, 8 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan Presiden Myanmar, Ming Aung Hlaing dalam satu jamuan tengah hari rasmi bersempena lawatan dua hari beliau ke Malaysia di Seri Perdana di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persetujuan memperkukuh kerjasama bilateral tumpu pelaburan, perdagangan, pendidikan, agromakanan, tenaga, penjagaan kesihatan dan pembangunan kapasiti.
  • Myanmar bersetuju menerima penghantaran pulang sejumlah besar rakyatnya daripada Malaysia secara sukarela, bermaruah dan selamat.
  • Turut hadir anggota Kabinet dan pegawai kanan kerajaan dari kedua-dua negara pada jamuan tengah hari rasmi.

Kehadiran Ming Aung Hlaing kira-kira 11.40 pagi disambut dengan persembahan ‘Selamat Datang ke Malaysia’ oleh 116 pelajar Sekolah Menengah Sains Selangor, Sekolah Menengah Agama Bandar Baru Salak Tinggi dan Sekolah Kebangsaan Presint 16 (1).

Jamuan tengah hari itu turut diserikan dengan penampilan tarian Tingkah Pusaka oleh 36 penari Istana Budaya.

Turut hadir pada jamuan berkenaan ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Anggota Kabinet Myanmar dan pegawai kanan kerajaan dari kedua-dua negara, turut menyertai jamuan tengah hari berkenaan.

Sebelum itu, Datuk Seri Anwar dan Ming Aung Hlaing mengadakan pertemuan empat mata disusuli dengan mesyuarat delegasi bagi membincangkan hubungan dua hala serta perkara yang menjadi kepentingan bersama.

Pada sidang media bersama, kedua-dua pemimpin menyatakan persetujuan untuk memperkukuh kerjasama bilateral dengan tumpuan kerjasama berteraskan rakyat termasuk pelaburan, perdagangan, pendidikan, agromakanan, tenaga, penjagaan kesihatan dan pembangunan kapasiti.

Selain itu, Myanmar turut bersetuju menerima penghantaran pulang sejumlah besar rakyatnya daripada semua kumpulan etnik yang berada di Malaysia secara tidak sah dengan sukarela, bermaruah dan selamat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.