
KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Peralihan hijau perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan melibatkan kerajaan, industri, institusi kewangan, institusi penyelidikan, kerajaan negeri dan komuniti tempatan.
- Kerjasama dan matlamat bersama diperlukan untuk membina masa depan yang lebih bersih, berdaya tahan dan makmur.
- Pendekatan peralihan mesti disesuaikan mengikut titik permulaan, struktur ekonomi dan keperluan pembangunan setiap negara.
- Mengurangkan pelepasan sambil memastikan keselamatan tenaga, kemampuan membayar dan kelangsungan kehidupan rakyat secara teratur.
- IGEM menghubungkan teknologi hijau dengan perniagaan, pelabur dan pasaran; KLSS menghimpun penggubal dasar dan institusi kewangan untuk kerjasama.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, usaha membina masa depan yang lebih bersih, berdaya tahan dan makmur memerlukan kerjasama serta matlamat bersama semua pihak.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, setiap negara mempunyai titik permulaan, struktur ekonomi dan keperluan pembangunan yang berbeza.
“Kita mesti mengurangkan pelepasan sambil memastikan keselamatan tenaga, kemampuan membayar dan kelangsungan kehidupan rakyat terpelihara. Peralihan ini mesti dilaksanakan secara teratur dengan kesejahteraan rakyat sebagai teras,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pameran dan Persidangan Produk Teknologi Hijau dan Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) ke-17 dan Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur (KLSS) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Datuk Seri Fadillah berkata, tindakan terhadap perubahan iklim perlu lebih berfokus dengan komitmen diterjemahkan kepada tindakan yang melindungi nyawa, memperkukuh kehidupan dan menjamin masa depan.
Katanya, IGEM yang memasuki tahun ke-17 terus menjadi antara platform teknologi hijau dan perniagaan mampan terkemuka di Asia Tenggara.
Menurutnya, IGEM menghubungkan teknologi hijau dengan perniagaan, pelabur dan pasaran bagi memperluas penggunaannya.
“IGEM menghubungkan teknologi hijau dengan perniagaan, pelabur dan pasaran yang mampu memperluaskan penggunaannya, manakala KLSS menghimpunkan penggubal dasar, institusi kewangan serta rakan antarabangsa bagi memperkukuh kerjasama dan kejelasan dasar,” katanya.