
GEORGE TOWN, 9 Oktober – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menunda penganjuran Hari Sukan Negara Peringkat Negeri yang dijadualkan berlangsung esok susulan keadaan jerebu yang tidak sihat.
- Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri ditunda demi keselamatan peserta dan orang awam.
- Bacaan Indeks Pencemaran Udara di empat stesen menunjukkan tahap tidak sihat melebihi 100.
- Tarikh baharu akan ditentukan oleh Jawatankuasa Induk selepas keadaan jerebu beransur pulih.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan keselamatan dan kesihatan atlet serta orang ramai yang dijangka menyertai acara berkenaan di Kompleks Sukan dan Rekreasi Bukit Mertajam.
Menurut beliau, keputusan itu diambil selepas pemantauan mendapati bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di empat stesen pemantauan di Pulau Pinang berada pada tahap tidak sihat, melebihi 100.
““Keempat-empat stesen pemantauan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Pulau Pinang kini mencatatkan bacaan pada tahap tidak sihat. Susulan itu, selepas bermesyuarat dan meneliti keadaan jerebu petang tadi, kami memutuskan untuk menunda sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini, memandangkan keadaan jerebu dijangka berlarutan. Kesihatan dan keselamatan orang awam sentiasa menjadi keutamaan kami,”katanya selepas merasmikan Kejohanan Sukan Pelbagai Deaf Asia Pasifik di George Town.
Tarikh baharu penganjuran Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang akan ditentukan oleh Jawatankuasa Induk sambutan berkenaan selepas keadaan jerebu beransur pulih.