
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kerajaan meneruskan tekad memastikan kemajuan negara diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat menerusi Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan petang ini.
- Belanjawan MADANI beri penekanan membela nasib rakyat serta memastikan setiap lapisan menikmati kehidupan lebih baik dan bermaruah.
- Perdana Menteri akan membentangkan Belanjawan 2027 dengan aspirasi menggapai di langit serta mengakar di bumi.
- Pembentangan disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen dan platform digital utama untuk capaian rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook berkata, Belanjawan MADANI kelima itu turut memberi penekanan kepada usaha membela nasib rakyat serta memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dan bermaruah.
“Insya-Allah petang ini saya akan membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, dengan aspirasi untuk menggapai di langit serta mengakar di bumi,”katanya.
Pembentangan Belanjawan 2027 dijadualkan berlangsung pada pukul 3.30 petang ini dan disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen serta platform digital utama.