Pentadbiran Trump tubuh pusat kajian vaksin baharu

Presiden AS Donald Trump/AFP

WASHINGTON, 8 Oktober – Setiausaha Kesihatan Amerika Syarikat (AS), Robert Kennedy Jr. mengumumkan inisiatif penyelidikan bagi mengkaji kesan sampingan vaksin yang jarang berlaku.

RINGKASAN BERITA AI
  • Usaha itu bertujuan memastikan keselamatan vaksin berasaskan bukti saintifik dan memulihkan kepercayaan orang ramai.
  • Beliau menekankan kepentingan mendengar pesakit dan keluarga yang melaporkan kecederaan akibat vaksin.
  • Pelantikan Kennedy mencetuskan kritikan WHO dan pakar susulan usaha merombak program vaksinasi kanak-kanak.
  • WHO menyatakan vaksinasi mampu mencegah sehingga lima juta kematian setahun; negara juga berdepan pemotongan belanjawan dan wabak campak.

Kennedy menerusi kenyataan berkata, sebuah pusat penyelidikan khusus akan ditubuhkan bagi memantau dan menangani kesan sampingan vaksin.

Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan keselamatan vaksin berasaskan bukti saintifik serta memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap institusi kesihatan awam.

“Kita mesti mendengar pesakit dan keluarga yang melaporkan kecederaan akibat vaksin, bukannya menolak atau memperlekehkan pengalaman mereka,” katanya.

Pelantikan Kennedy oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebelum ini mencetuskan kritikan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pakar perubatan lain, susulan usahanya merombak program vaksinasi kanak-kanak di AS.

Vaksin boleh menyebabkan kesan sampingan ringan, namun kesan serius amat jarang berlaku dan terus dipantau bagi memastikan manfaatnya melebihi risiko.

Sementara itu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), vaksinasi mampu mencegah sehingga lima juta kematian setiap tahun akibat penyakit seperti difteria, tetanus, influenza dan campak.

Manakala, Ahli Epidemiologi Michael Osterholm, yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan dan Dasar Penyakit Berjangkit Universiti Minnesota, berkata kajian keselamatan vaksin sememangnya penting, namun sistem pemantauan sedia ada telah beroperasi secara berterusan bagi mengenal pasti sebarang kesan buruk berkaitan vaksinasi.

Kennedy mengumumkan inisiatif itu ketika Jabatan Kesihatan Persekutuan AS berdepan pemotongan belanjawan yang besar dan negara itu mengalami penularan wabak campak terburuk dalam tempoh 35 tahun.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.