IPU lebih 200: Penutupan sekolah langkah tepat lindungi kesihatan

Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Arahan menutup sekolah di kawasan yang mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 200 disifatkan sebagai langkah tepat Kementerian Pendidikan (KPM) bagi melindungi kesihatan warga sekolah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kanak-kanak paling terdedah kepada kesan jerebu; perlindungan kesihatan wajib diberikan.
  • PIBGN menyokong penuh saranan dan garis panduan KPM untuk dilaksanakan segera.
  • Sediakan kaedah alternatif pembelajaran seperti aktiviti dalam bangunan atau jadual semula program.
  • Utamakan keselamatan murid namun pastikan pendidikan diteruskan walaupun aktiviti luar terhad.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, murid terutama kanak-kanak antara golongan paling terdedah kepada kesan jerebu.

“IPU melebihi 200 dikategorikan sebagai sangat tidak sihat, manakala kanak-kanak sebagai kumpulan berisiko tinggi terdedah kepada kesan kesihatan yang lebih serius.

“Justeru, saya bagi pihak PIBGN menyokong penuh saranan serta garis panduan yang ditetapkan KPM untuk dilaksanakan serta-merta,” katanya kepada RTM.

Dalam pada itu, Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Taman Midah, Noorfaizul Arni Basyuni berpandangan, kaedah alternatif perlu disediakan supaya sesi pembelajaran dan program pendidikan dapat diteruskan mengikut kesesuaian sepanjang tempoh jerebu.

“Jika aktiviti luar tidak sesuai dilaksanakan, kita boleh menggunakan alternatif lain, terutama aktiviti di dalam bangunan, atau menjadualkan semula program berkenaan pada tarikh lain.

“Yang penting, anak-anak kita dilindungi, tetapi pada masa sama pendidikan mereka perlu terus berjalan. Jerebu mungkin menghadkan sebahagian aktiviti, tetapi jangan sampai ia menghentikan pendidikan anak-anak,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.