Kehadiran kapal China di Laut China Selatan hampir berganda

Foto AFP

MANILA, 8 Oktober – Kehadiran tentera dan pengawal pantai China di perairan Laut China Selatan yang dituntut Filipina didakwa hampir dua kali ganda pada bulan lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tentera Filipina dakwa peningkatan kehadiran kapal China bertujuan mematahkan keazaman rakyat mempertahankan wilayah.
  • Manila melaporkan gangguan terhadap pesawat Cessna semasa rondaan ketenteraan berhampiran Beting Scarborough.
  • Pengawal pantai Filipina kata kapal China menghalang bot negara itu yang cuba mendekati kapal nelayan dituduh guna dinamit.

Jurucakap tentera Filipina bagi isu Laut China Selatan, Laksamana Muda Roy Vincent Trinidad berkata, peningkatan kehadiran kapal China bertujuan mematahkan keazaman rakyat Filipina untuk mempertahankan wilayah yang didakwa menjadi milik negara itu.

Pada September, Manila memantau 101 kapal tentera laut dan pengawal pantai China di sekitar Pulau Thitu dan Beting Second Thomas yang menempatkan pasukan Filipina, selain di luar Beting Sabina serta Beting Scarborough yang dikawal China.

Jumlah tersebut hampir dua kali ganda berbanding 56 kapal pada bulan sebelumnya, berdasarkan rekod tentera Filipina.

Hujung minggu lalu, Manila menuduh tentera dan pengawal pantai China mengganggu pesawat serta bot kerajaan di dua kawasan Laut China Selatan yang terletak dalam zon ekonomi eksklusif (ZEE) Filipina.

Satu daripada insiden itu membabitkan dakwaan gangguan sebuah jet pejuang China terhadap pesawat turboprop Cessna 208 milik Filipina yang sedang menjalankan rondaan ketenteraan rutin berhampiran Beting Scarborough, pada Sabtu.

Sementara itu, pengawal pantai Filipina mendakwa sebuah kapal Pengawal Pantai China mengekori dan menghalang bot negara itu yang cuba menghampiri sebuah kapal nelayan asing yang dituduh menggunakan bahan letupan ‘dinamit’ untuk menangkap ikan.

Minggu ini, Beijing memberi amaran kepada Manila supaya tidak melakukan tindakan provokatif di perairan yang dipertikaikan itu, sambil mendakwa pesawat Cessna Filipina berhampiran Beting Scarborough melanggar ruang udaranya. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.