Penerbangan asing pertama mendarat di Iran sejak perang

Foto AFP

TEHRAN, 8 Oktober – Iraqi Airways menjadi syarikat penerbangan komersial asing pertama melakukan penerbangan ke Iran pada Khamis, sejak tercetusnya perang di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Televisyen Iran menyiarkan video pesawat Iraqi Airways mendarat di Lapangan Terbang Imam Khomeini dari Najaf, dilaporkan sebagai penerbangan pergi balik pada 6:50 pagi.
  • AS memberikan pengecualian kepada Iraqi Airways untuk terbang ke Iran bagi jemaah yang melakukan perjalanan antara Iran dan Najaf.
  • Kerajaan Iraq mendapat persetujuan AS membenarkan syarikat penerbangan Iran kecuali Mahan Air mengendalikan penerbangan harian dari dan ke Najaf.
  • Sekatan AS memaksa syarikat penerbangan Iran batalkan penerbangan antarabangsa; ramai memilih Turkiye; laluan ke Afghanistan, Pakistan, China, Rusia, Malaysia, Thailand masih ada.

Televisyen kerajaan Iran menyiarkan video ringkas memaparkan pesawat Iraqi Airways mendarat di Tehran dari bandar Najaf, Iraq sambil melaporkan penerbangan itu adalah perjalanan pergi balik.

“Pesawat yang dikendalikan Iraqi Airways berlepas dari Lapangan Terbang Najaf dan mendarat di Lapangan Terbang Imam Khomeini di Tehran pada 6.50 pagi,” lapor televisyen kerajaan.

Bulan lalu, Kementerian Pengangkutan Iraq memaklumkan Amerika Syarikat (AS) memberikan pengecualian kepada Iraqi Airways untuk terbang ke Iran, dengan ketetapan itu terpakai kepada jemaah yang melakukan perjalanan antara Iran dengan Najaf.

Kerajaan Iraq pada minggu lalu turut menyatakan bahawa ia memperoleh persetujuan daripada AS yang membenarkan syarikat penerbangan Iran, kecuali Mahan Air mengendalikan penerbangan harian dari dan ke Najaf, yang menempatkan antara makan utama golongan Syiah.

Perkembangan itu berlaku selepas Washington mengenakan sekatan terhadap industri penerbangan Iran bulan lalu dan berikrar mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang membantu sektor berkenaan.

Susulan sekatan itu, syarikat penerbangan utama Iran terpaksa membatalkan penerbangan antarabangsa selepas beberapa negara melaksanakan larangan.

Pada akhir September, Iran mengemukakan aduan kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), sebuah agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu berpangkalan di Montreal, berhubung sekatan AS.

Bagi rakyat Iran yang mahu memasuki atau meninggalkan negara itu, destinasi di negara jiran Turkiye kini menjadi pilihan utama untuk penerbangan.

Laluan penerbangan ke Afghanistan, Pakistan, China, Rusia, Malaysia dan Thailand juga masih tersedia melalui syarikat penerbangan Iran, manakala Emiriah Arab Bersatu — sebelum ini destinasi paling penting di Asia Barat bagi syarikat penerbangan Iran — telah menggantung penerbangan syarikat penerbangan Iran. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.