Syria dilanda banjir susulan pelepasan air empangan Turkiye

Wilayah Deir Ezzor di Syria yang dilanda banjir/ Foto AFP

DAMSYIK, 29 Mei – Kementerian Tenaga Syria memberi amaran mengenai peningkatan paras air Sungai Euphrates susulan banjir di kawasan utara dan timur negara itu selepas aliran air meningkat dari negara jiran, Turkiye, selain hujan lebat kebelakangan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak berkuasa air di Deir Ezzor, Raqa dan Aleppo mengisytiharkan keadaan darurat dan mengambil langkah berjaga-jaga.
  • Pembukaan pintu alur limpah empangan Turkiye, termasuk Empangan Ataturk buka pertama kali sejak tujuh tahun, disifatkan sebagai pelepasan terkawal.
  • Banjir melanda bandar, kawasan luar bandar, merosakkan jambatan, kawasan pertanian dan rumah penduduk di Deir Ezzor serta Raqa.

Menurut kementerian itu, peningkatan paras air berpunca daripada musim hujan, serta pembukaan pintu alur limpah di empangan-empangan di sepanjang sungai dalam wilayah Turkiye.

Berikutan situasi tersebut, pihak berkuasa air kerajaan di wilayah Deir Ezzor, Raqa dan Aleppo mengisytiharkan keadaan darurat, serta mengambil langkah berjaga-jaga.

Agensi berita negara SANA melaporkan, banjir berlaku di kawasan bandar dan luar bandar di wilayah Deir Ezzor pada Khamis.

Terdahulu, agensi tersebut melaporkan beberapa jambatan di wilayah berkenaan tidak lagi boleh digunakan pada Rabu akibat banjir yang turut menjejaskan kawasan pertanian dan rumah penduduk, selain turut melanda wilayah jiran, Raqa.

Media tempatan Turkiye memetik pihak berkuasa air serantau sebagai berkata, berlaku pelepasan air secara terkawal dari Empangan Ataturk selepas paras air meningkat susulan hujan lebat sejak beberapa bulan lalu, dengan pintu alur limpah dibuka buat pertama kali dalam tempoh tujuh tahun.

Empangan Ataturk merupakan satu daripada tiga empangan utama Turkiye dan dibina untuk menjana elektrik, serta mengairi kawasan berhampiran sempadan Syria.

Kementerian Tenaga di Damsyik memaklumkan, berdasarkan maklumat pihak pengurusan Empangan Euphrates Syria, kapasiti simpanan air empangan negara itu kini hampir penuh, sekali gus memaksa sejumlah besar air dilepaskan.

Lewat Rabu, kementerian itu menyiarkan imej pembukaan pintu alur limpah Empangan Euphrates yang tidak digunakan sejak kira-kira 40 tahun lalu, serta menggesa orang ramai berhati-hati. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.