Terbuka Perancis: Sinner tersingkir, Sabalenka mara

Sinner tewas 6-3, 6-2, 5-7, 1-6 dan 1-6 kepada Juan Manuel Cerundolo/ Foto REUTERS

PARIS, 29 Mei – Jannik Sinner tersingkir secara mengejut daripada saingan Terbuka Perancis selepas tewas kepada pemain ranking ke-56 dunia, Juan Manuel Cerundolo, ekoran masalah kesihatan dan kebangkitan luar biasa lawannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sinner alami masalah pergerakan, pening dan tenaga rendah; terpaksa keluar gelanggang mendapatkan rawatan dan prestasi merosot secara mendadak.
  • Aryna Sabalenka mara ke pusingan ketiga selepas menewaskan Elsa Jacquemot, memenangi set pertama ketat dan menguasai set kedua.
  • Juara bertahan Coco Gauff layak ke pusingan 32; Naomi Osaka mara ke pusingan ketiga buat kali pertama sejak tujuh tahun.

Sinner, pemain nombor satu dunia berada di landasan mudah untuk menang apabila mendahului dua set dan 5-1 dalam set ketiga, sebelum tiba-tiba mengalami masalah pergerakan apabila kalah 18 mata berturut-turut.

Keadaan tersebut memaksa bintang Itali itu meninggalkan gelanggang Philippe Chatrier yang panas terik untuk mendapatkan rawatan, namun selepas kembali ke gelanggang dia tetap tewas 6-3, 6-2, 5-7, 1-6 dan 1-6 kepada pemain Argentina itu pada aksi pusingan kedua.

“Saya bergelut, mula rasa sangat pening. Tenaga sangat rendah. Saya cuba habiskan permainan tetapi tidak mempunyai banyak tenaga.

“Saya bangun pagi ini dan tidak berasa sihat, jadi saya cuba pastikan mata berlangsung singkat,” kata Sinner.

Pemain Itali itu kini perlu menunggu sehingga tahun depan untuk mencuba melengkapkan koleksi Grand Slamnya ketika pencabar utama yang cedera, Carlos Alcaraz dijangka kembali beraksi.

Sabalenka mara ke pusingan ketiga selepas mengalahkan pemain tuan rumah, Elsa Jacquemot, 7-5, 6-2/ Foto REUTERS

Sementara itu, saingan wanita menyaksikan kejayaan Aryna Sabalenka melangkah ke pusingan ketiga selepas menumpaskan pemain tuan rumah, Elsa Jacquemot, 7-5, 6-2.

Pemain nombor satu dunia dari Belarus itu memenangi set pertama yang sengit menerusi ‘break’ pada permainan terakhir sebelum menguasai sepenuhnya set kedua.

Sabalenka yang memburu gelaran Grand Slam kelima dan yang pertama di Roland Garros akan bertemu pemain Australia, Daria Kasatkina, selepas ini.

Juara bertahan, Coco Gauff turut mengesahkan slot ke pusingan 32 terakhir selepas mengalahkan pemain kelayakan Mesir, Mayar Sherif, 6-3, 6-2.

Pemain Amerika Syarikat itu yang berpotensi bertemu Sabalenka di separuh akhir dalam ulangan perlawanan akhir tahun lalu berjaya mengharungi aksi tidak menentu yang menyaksikan 11 kali ‘break’ servis.

“Ia perlawanan yang fizikal dan sukar, kesabaran saya benar-benar diuji hari ini,” kata Gauff.

Naomi Osaka pula semakin hampir untuk kemungkinan bertemu Sabalenka di pusingan 16 terakhir selepas mara ke pusingan ketiga buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun apabila mengatasi pemain Croatia, Donna Vekic, 7-6 (7/1), 6-4. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.