
CEBU, 8 Mei – Malaysia menyeru negara-negara anggota ASEAN supaya segera mengatur kesiapsiagaan bersama bagi menjamin keselamatan makanan semasa krisis dengan mewujudkan pelan keterjaminan makanan serantau.
- Kenaikan harga bahan api menaikkan kos baja, pengangkutan dan pengeluaran, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap bekalan makanan serantau.
- Gangguan berterusan berisiko menurunkan pengeluaran pertanian dan menyebabkan inflasi makanan berpanjangan hingga tahun hadapan.
- Perlu memperkukuh Mekanisme Rizab Beras Kecemasan ASEAN Campur Tiga APTERR dan luaskan kerjasama termasuk keselamatan baja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu berupaya memastikan penyelarasan dan tindak balas kecemasan yang lebih pantas memandangkan krisis tenaga memberi kesan langsung terhadap keterjaminan makanan.
“Harga bahan api yang meningkat menyebabkan kos baja, pengangkutan dan pengeluaran turut meningkat, sekali gus mencetuskan tekanan bekalan di seluruh rantau.
“Jika gangguan ini berterusan, ASEAN berdepan risiko pengeluaran hasil pertanian yang lebih rendah serta inflasi makanan yang berpanjangan sehingga tahun depan,” katanya dalam Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di sini, hari ini.
Tegas Datuk Seri Anwar, ASEAN juga harus memperkukuh mekanisme Rizab Beras Kecemasan ASEAN Campur Tiga (APTERR) dengan mempertimbangkan peluasan kerjasama bukan sahaja berkaitan rizab beras, tetapi juga keselamatan baja.