
CEBU, 8 Mei – Malaysia menyokong penuh usaha mempercepat pelaksanaan Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN (APSA).
- APSA memberikan perlindungan penting apabila pengeluaran minyak dan gas domestik di rantau ini semakin menurun.
- ASEAN perlu mempelbagaikan sumber bahan api fosil dan kurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan yang terdedah kepada risiko.
- Perkukuh kerjasama strategik dengan GCC, China dan rakan serantau, tingkatkan pelaburan untuk Grid Kuasa ASEAN serta sokongan pembiayaan melalui Dana Ketersambungan Serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, APSA menyediakan perlindungan penting ketika pengeluaran minyak dan gas domestik di rantau ini semakin menurun.
Menurut beliau, ASEAN juga perlu mempelbagaikan sumber bahan api fosil dan mengurangkan kebergantungan berlebihan terhadap rantaian bekalan yang terdedah kepada risiko, di samping mengiktiraf bahawa kerjasama strategik dengan rakan yang dipercayai serta kelompok serantau dapat memperkukuh keselamatan tenaga dalam jangka panjang.
“Dalam konteks ini, ASEAN harus memanfaatkan sepenuhnya kerjasama dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), termasuk rangkaian ASEAN–GCC–China, bagi membina pengaturan tenaga yang lebih boleh dipercayai dan berdaya tahan.
“Pada masa yang sama, Grid Kuasa ASEAN kekal penting dalam peralihan tenaga dan keselamatan jangka panjang kita.
“Pelaburan yang lebih besar diperlukan untuk mempercepat keterhubungan rentas sempadan dan pertumbuhan rendah karbon,” katanya ketika berucap dalam Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di sini, hari ini.
Datuk Seri Anwar turut menghargai sokongan kukuh Bank Pembangunan Asia, serta pelancaran Dana Ketersambungan Serantau Bagi Tenaga pada bulan lalu yang akan membantu merapatkan jurang pembiayaan serta merintis kepada projek-projek yang boleh dilaksanakan bagi Grid Kuasa ASEAN.