Pembangunan Johor perlu manfaatkan rakyat

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddih (kiri) beramah mesra dengan orang ramai ketika singgah minum petang di Muar/Foto Anwar Ibrahim

MUAR, 16 Jun – Kerajaan negeri perlu bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seimbangkan pembangunan berskala besar dengan meningkatkan kesejahteraan rakyat termasuk perumahan, pendidikan, kebajikan nelayan dan golongan berpendapatan rendah.
  • Selesaikan isu nelayan dan masalah kemiskinan agar dasar pembangunan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
  • Pelihara perpaduan, tolak politik kebencian serta sentimen perkauman, dan semua pengundi digesa pulang mengundi PRN Johor demi masa depan negeri.

Beliau berkata kesepakatan antara kedua-dua pihak penting untuk mempercepatkan pembangunan negeri.

Menurutnya, Johor mempunyai potensi besar untuk terus berkembang menerusi pelbagai projek strategik dan pelaburan berimpak tinggi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pembangunan berskala besar perlu diseimbangkan dengan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, aspek perumahan, pendidikan, kebajikan nelayan, anggota pasukan keselamatan serta golongan berpendapatan rendah tidak boleh diabaikan dalam agenda pembangunan negeri.

“Johor sedang bergerak dengan baik, tetapi saya tidak mahu melihat isu nelayan yang belum selesai dan masalah kemiskinan masih wujud. Kita perlu menjaga dasar yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah umum Pakatan Harapan di Muar malam tadi.

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat supaya terus memelihara perpaduan dan menolak politik berasaskan kebencian serta sentimen perkauman yang boleh menjejaskan kestabilan negara.

Pengundi termasuk yang berada di luar negeri diseru agar pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRN Johor 11 Julai ini demi masa depan negeri itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.