KPN terima kunjungan hormat Duta Besar Republik Korea ke Malaysia

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohd Khalid Ismail menerima kunjungan hormat Duta Besar Republik Korea ke Malaysia, Yeo Seung Bae./ PDRM

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohd Khalid Ismail menerima kunjungan hormat Duta Besar Republik Korea ke Malaysia, Yeo Seung Bae di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman di sini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh hubungan strategik antara PDRM dan Kedutaan Korea dalam aspek keselamatan, penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama antarabangsa.
  • Pertukaran pandangan bagi mempertingkat kerjasama membanteras jenayah rentas sempadan termasuk penipuan dalam talian dan ancaman jenayah transnasional.
  • Perbincangan mencadangkan pelaksanaan program latihan bahasa Korea untuk meningkatkan keupayaan komunikasi pegawai PDRM.
  • Dibincangkan pengiktirafan Permit Memandu Antarabangsa Korea untuk memudahkan pergerakan dan mobiliti rakyat kedua-dua negara.

PDRM dalam kenyataan memaklumkan kunjungan tersebut menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan strategik yang sedia terjalin antara PDRM dan Kedutaan Republik Korea, khususnya dalam aspek keselamatan, penguatkuasaan undang-undang serta kerjasama antarabangsa.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai usaha mempertingkatkan kerjasama dalam membanteras jenayah rentas sempadan, termasuk penipuan dalam talian dan ancaman jenayah transnasional yang semakin kompleks serta mencabar.

Kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai usaha mempertingkatkan kerjasama dalam aspek keselamatan, penguatkuasaan undang-undang serta kerjasama antarabangsa./ PDRM

Selain itu, perbincangan turut menyentuh cadangan pelaksanaan program latihan bahasa Korea kepada pegawai PDRM bagi meningkatkan keupayaan komunikasi dan kerjasama antara kedua-dua pihak.

Turut dibincangkan ialah pengiktirafan Permit Memandu Antarabangsa Republik Korea yang dijangka dapat memudahkan pergerakan dan mobiliti rakyat kedua-dua negara.

Hadir sama dalam sesi kunjungan hormat tersebut ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar; Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman, Datuk Mohammad Shaharul Md Osman; Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Bukit Aman, Datuk Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar; Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Mohd Mahidisham Ishak dan Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Mohamad Noor Yusof Ali, serta delegasi Kedutaan Republik Korea ke Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.