El Nino: JBPM tingkat kesiapsiagaan nasional

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 15 Jun – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh susulan peningkatan risiko bencana akibat fenomena El Nino dan Monsun Barat Daya yang dijangka berlarutan hingga awal tahun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • JBPM keluarkan Arahan Persediaan Musim Kemarau dan Kebakaran Hutan Gambut 2026 kepada semua negeri, termasuk pelan pencegahan dan respons kecemasan menyeluruh.
  • Pelaksanaan rondaan berkala di titik panas dan pemantauan infrastruktur kritikal seperti tube well, water check dam dan watch tower untuk memudahkan operasi pemadaman.
  • Perkukuh kerjasama antara agensi termasuk pengurusan risiko kebakaran tapak pelupusan dan penggunaan pam berkapasiti tinggi.
  • Orang ramai diseru elakkan pembakaran terbuka, jimatkan penggunaan air dan segera hubungi talian kecemasan 999 jika berlaku kebakaran.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Ts. Nor Hisham Mohammad dalam satu kenyataan memaklumkan, seluruh keanggotaan dan aset jabatan telah diletakkan pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi memastikan keupayaan respons kekal optimum.

“Langkah itu memberi tumpuan khusus kepada ancaman kebakaran terbuka termasuk kebakaran hutan dan tanah gambut yang lazim meningkat ketika musim kemarau.

“Sehubungan itu, JBPM turut mengeluarkan Arahan Persediaan Menghadapi Musim Kemarau dan Kebakaran Hutan Gambut 2026 kepada semua negeri, merangkumi pelaksanaan tindakan pencegahan serta pelan respons kecemasan secara menyeluruh.

“Antara inisiatif digerakkan termasuk rondaan berkala di kawasan titik panas berdasarkan rekod sejarah kebakaran, selain pemantauan rapi terhadap infrastruktur kritikal seperti ‘tube well’, ‘water check dam’ dan ‘watch tower’ bagi memastikan operasi pemadaman dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Dalam masa sama, kerjasama strategik antara agensi turut diperkukuh termasuk pengurusan risiko kebakaran di tapak pelupusan, penggunaan pam berkapasiti tinggi serta pemantauan berterusan di kawasan berisiko tinggi.

“JBPM juga bersedia mengaktifkan Bilik Gerakan Jerebu dan Pembakaran Terbuka sekiranya berlaku peningkatan kes kecemasan berkaitan kebakaran,” katanya.

Orang ramai diseru supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan segera menghubungi talian kecemasan 999 sekiranya berlaku kebakaran.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) turut mengingatkan orang ramai agar menggunakan air secara berhemah dan mengelakkan pembakaran terbuka berikutan fenomena El Nino yang dijangka berterusan hingga September 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.