
ISKANDAR PUTERI, 15 Jun – Cabaran keselamatan di daerah ini dijangka menjadi semakin kompleks susulan kepesatan pembangunan dan pertambahan penduduk yang diunjurkan mencecah 647,000 orang menjelang 2035, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
- IPD Iskandar Puteri dirasmikan untuk menjadi benteng keselamatan yang ampuh bagi penduduk, pekerja dan pelawat.
- Kedudukan sebagai pusat pentadbiran negeri dan pintu masuk antarabangsa menuntut kawalan keselamatan lebih menyeluruh dan proaktif.
- Perkembangan pesat kawasan perindustrian dan komersial memerlukan pemantauan berterusan untuk mengekalkan keselamatan awam dan kelancaran aktiviti ekonomi.
- Pengoperasian IPD memperkukuh keupayaan PDRM, meningkatkan kesiapsiagaan pasukan melindungi penduduk serta aset strategik daerah.
Beliau berkata, kedudukan Iskandar Puteri sebagai pusat pentadbiran negeri serta pintu masuk antarabangsa yang strategik menuntut tahap kawalan keselamatan yang lebih menyeluruh dan proaktif.
Menurutnya, perkembangan pesat kawasan perindustrian dan komersial di daerah itu turut memerlukan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan awam serta kelancaran aktiviti ekonomi dapat dipelihara.
“Semoga dengan adanya kemudahan baharu ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri akan menjadi benteng keselamatan yang ampuh, seterusnya menjadikan daerah ini tempat yang selamat untuk didiami, bekerja dan dilawati,” katanya ketika berucap merasmikan IPD Iskandar Puteri yang turut dihadiri Ketua Polis Johor, Datuk A. Rahimah Ramli, di sini, hari ini.
Beliau menambah, pengoperasian IPD Iskandar Puteri akan memperkukuh keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menghadapi tahap keselamatan yang semakin mencabar selain meningkatkan kesiapsiagaan pasukan dalam melindungi penduduk serta aset strategik di daerah berkenaan.
Katanya, dengan kewujudan IPD baharu itu juga akan membantu memastikan Iskandar Puteri terus berkembang sebagai bandar yang selamat, mampan dan kondusif selaras dengan statusnya sebagai antara pusat pertumbuhan utama negara.