Perkukuh kesihatan mental hadapi ketidaktentuan ekonomi

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuh kesihatan mental secara bersepadu antara rakyat, komuniti dan kerajaan untuk menghadapi tekanan akibat ketidaktentuan ekonomi.
  • Amalkan pengurusan kewangan bijak: utamakan keperluan, susun semula perbelanjaan, elak hutang baharu yang tidak perlu.
  • Hadkan pendedahan kepada berita negatif dan tapis maklumat spekulatif untuk kurangkan kebimbangan dan tekanan emosi.
  • Galakkan sokongan keluarga, komuniti serta akses kaunseling dan program kesedaran mental; hapuskan stigma untuk bantuan lebih mudah.

Secara umumnya masalah ekonomi seperti inflasi, kemelesetan, dan kenaikan kos sara hidup akan memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, termasuk kuasa beli yang merosot, kadar pengangguran yang tinggi, dan peningkatan pelbagai masalah sosial.

Situasi ini pastinya menjejaskan kualiti hidup dan kesejahteraan emosi rakyat akibat tekanan kewangan yang melampau.

Dalam konteks ini laporan kajian dilaksanakan oleh pihak Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) terhadap kesan perang Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran, yang menyebabkan harga tenaga dan baja melonjak tinggi.

Sekali gus menganggarkan lebih 30 juta penduduk dunia akan terjerumus ke dalam keadaan tidak menentu di 160 negara; tidak mustahil mencetuskan kebimbangan dalam kalangan kita semua.

Hal ini sangat signifikan kerana walupun konflik geopolitik tersebut berlaku jauh dari Malaysia namun negara dan rakyat sudah mula merasai pelbagai kesannya, khususnya dari segi masalah ekonomi diri dan keluarga.

Sekali gus dikhuatiri mula memberi kesan besar terhadap kesejahteraan hidup dan kesihatan mental anggota masyarakat.

Justeru perlu ada usaha bersepadu dari pelbagai pihak sebagai langkah strategik dalam memperkukuh kesihatan mental rakyat yang sedang berhadapan dengan masalah ketidaktentuan ekonomi pada ketika ini yang dijangka akan berpanjangan untuk suatu tempoh yang tidak dapat dipastikan.

Kita khuatir konflik ini yang mula memberi kesan langsung kepada ekonomi diri dan keluarga akan meletakkan setiap individu yang terkesan dalam tekanan mental yang tinggi dan tidak terkawal.

Ini boleh mendorong mereka bertindak di luar dugaan dan meninggalkan kesan jangka panjang yang menjejaskan emosi dan gaya hidup.

Dalam suasana dunia dan ekonomi yang tidak menentu, persoalan kritikal yang wajar direnungkan bersama ialah, sejauh mana kita bersedia melindungi kesihatan mental daripada tekanan ekonomi yang semakin mencengkam?

Jujurnya kenaikan harga barangan keperluan harian yang mencetuskan peningkatan kos sara hidup secara mendadak serta kebimbangan terhadap kestabilan pekerjaan boleh mencetuskan tekanan yang berpanjangan.

Tekanan ekonomi mungkin lebih ketara kepada golongan berpendpatan rendah (B40) dan sederhana (M40) yang jatuh dalam kategori kais pagi makan pagi, dan kais petang makan petang.

Harus diingat, kelompok ini bukan sahaja perlu mengurus perbelanjaan harian yang semakin meningkat, malah berdepan dengan tahap kebimbangan yang tinggi terhadap masa depan diri dan keluarga.

Situasi ini boleh mencetuskan pelbagai isu kesihatan mental seperti keresahan (anxiety), kemurungan (depression), dan keletihan emosi (emotional burnout).

Malah, lebih membimbangkan apabila tekanan ekonomi yang berpanjangan dilihat boleh menjejaskan hubungan kekeluargaan, meningkatkan konflik rumah tangga, dan dalam kes tertentu, membawa kepada masalah sosial yang lebih serius.

Justeru setiap individu perlu sedar risiko bahaya tekanan mental dan perlu sentiasa bersedia dengan cara memperkukuh daya tahan mental. Secara prinsipnya, menghadapi ketidaktentuan ekonomi memerlukan kekuatan dalaman yang kukuh.

Maka antara langkah yang boleh diambil oleh rakyat ialah, bijak menguruskan kewangan diri dan keluarga.

Sudah tiba masanya untuk kita menyesuaikan perbelanjaan dengan situasi ketidaktentuan semasa dengan cara menyusun semula keutamaan perbelanjaan dengan lebih fokus kepada keperluan berbanding kehendak, serta elak pengambilan hutang baharu yang tidak perlu.

Tuntasnya, perancangan kewangan yang teliti diyakini dapat membantu mengawal emosi dan tahap kebimbangan diri, sekali gus dapat mengurangkan tekanan mental masing-masing.

Tekanan kepada mental juga dapat ditangani dengan cara mengawal diri dari pendedahan kepada maklumat yang negatif.

Harus diingat krisis geopolitik yang sedang melanda sudah mula mencetuskan lambakan berita yang kebanyakannya menganggu emosi dan perasaan lantas meningkatkan rasa cemas dalam kalangan pembaca.

Maka kita perlu mengelak daripada terpengaruh dan perlu bijak menapis setiap maklumat yang diterima khususnya berbentuk spekulasi dan propaganda yang sengaja ditularkan untuk menakutkan anggota masyarakat.

Tekanan ekonomi juga dapat diserap dan ditangani dengan baik dengan mengamalkan gaya hidup seimbang. Misalnya, aktiviti fizikal, rehat yang cukup, dan sokongan sosial memainkan peranan penting dalam menjaga kestabilan emosi.

Dalam konteks ini peranan ahli keluarga melalui sokongan sosial boleh menjadi sumber inspirasi penting yang meningkatkan semangat setiap individu dalam mengharungi tekanan ekonomi yang melampau.

Inilah masanya untuk kita meningkatkan aspek komunikasi dan hubungan kekeluargaan agar boleh meningkatkan daya tahan diri dan keluarga.

Setiap individu yang mula merasai tekanan juga wajar mendapatkan bantuan dari pakar yang profesional kerana tidak semua tekanan boleh ditangani sendiri.

Ironinya, mendapatkan bantuan kaunselor atau pakar psikologi bukan satu kelemahan, tetapi langkah bijak dalam menjaga kesihatan mental.

Selain itu, peranan komuniti dalam memberikan sokongan sosial yang kukuh juga sangat penting dan sama sekali tidak boleh dipandang ringan kerana boleh membantu individu yang sedang melalui fasa cabaran ekonomi yang serius.

Misalnya, sokongan daripada rakan dan masyarakat setempat mampu menjadi benteng signifikan dalam mengurangkan tekanan mental.

Maka inilah masanya untuk kita memperkasa budaya saling membantu, empati, dan meningkatkan rasa keprihatinan terhadap masalah yang dihadapi oleh jiran mahupun rakan sekerja.

Inisiatif komuniti seperti program sokongan emosi, aktiviti kemasyarakatan, dan jaringan bantuan boleh membantu individu yang terkesan agar tidak merasa terasing ketika berhadapan dengan masalah.

Umumnya, kesihatan mental bukan isu individu semata-mata, tetapi melibatkan tanggungjawab kolektif anggota masyarakat.

Dalam pada itu, kita juga berharap agar pihak kerajaan terus membantu rakyat mengharungi detik sukar dan tekanan yang sedang dihadapi.

Tatkala kita berharap segala inisiatif dan bantuan yang disediakan kerajaan dapat mengurangkan beban kewangan rakyat, jangan lupa pasti akan ada sekelompok yang tetap merasai tekanan yang melampau.

Justeru diharap pihak kerajaan dapat memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan mental agar individu yang terkesan mudah mendapatkan rawatan diperlukan.

Dalam konteks ini, perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikologi perlu diperkasa, terutamanya di kawasan luar bandar.

Selain itu, diharap pihak berkuasa juga memperbanyakkan lagi kempen kesedaran kesihatan mental dalam kalangan rakyat kerana masih ramai yang leka, tidak cakna dan ambil ringan ancaman kesihatan mental.

Kempen yang strategik perlu demi menghapuskan stigma terhadap isu kesihatan mental agar lebih ramai tampil mendapatkan bantuan yang sewajarnya.

Tuntasnya, ketidaktentuan ekonomi global bukan sesuatu yang boleh dielakkan, tetapi kesannya boleh diurus jika kita bersedia dengan sewajarnya.

Amaran oleh UNDP seharusnya menjadi isyarat awal, justeru baik rakyat, komuniti, mahu pun kerajaan perlu bergerak seiring dalam memperkukuh sistem kesihatan mental sebagai benteng menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Noor Mohamad Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia
E-mel: nmohd77@upm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.