Kolaborasi Venezuela-General Electric pulihkan sistem elektrik negara

Foto AFP

CARACAS, 16 Jun – Kerajaan Venezuela secara rasmi menandatangani perjanjian strategik bersama syarikat gergasi Amerika Syarikat (AS), General Electric, bagi memulakan pelan komprehensif memulihkan sistem grid elektrik negara itu yang kini berada dalam keadaan kritikal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasaran pemulihan: pulihkan 1,000 megawatt dalam 24 bulan dan lebih 5,000 megawatt dalam empat tahun.
  • Delegasi teknikal General Electric melakukan penilaian dan audit terperinci selama enam minggu ke atas infrastruktur SEN.
  • Bekalan elektrik kritikal; banyak wilayah alami gangguan harian hingga 10 jam, dan Caracas mula turut terjejas.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pemangku Presiden, Delcy Rodríguez, dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Istana Presiden Miraflores pada Isnin.

Menurut Rodríguez, perjanjian berkenaan menyasarkan pemulihan kapasiti tenaga secara berperingkat dalam tempoh jangka masa pendek dan sederhana.

“Melalui pelan ini, kita menyasarkan untuk memulihkan sebanyak 1,000 megawatt dalam tempoh 24 bulan pertama. Secara keseluruhannya, sasaran kita adalah untuk menjana semula melebihi 5,000 megawatt dalam tempoh empat tahun,” ujar beliau dalam majlis yang turut dihadiri barisan pengurusan tertinggi syarikat AS berkenaan.

Langkah ini diambil selepas delegasi teknikal daripada General Electric meluangkan masa selama enam minggu di Venezuela bagi menjalankan penilaian dan audit terperinci terhadap keseluruhan infrastruktur Sistem Elektrik Nasional (SEN) membabitkan kedua-dua sektor penjanaan hidro dan terma.

Kolaborasi itu bagi menangani isu bekalan elektrik di Venezuela dilaporkan berada pada tahap membimbangkan apabila sebahagian besar wilayah di negara itu kerap berdepan krisis gangguan bekalan harian yang berlarutan hingga 10 jam.

Malah Caracas, yang sebelum ini terkecuali daripada catuan tenaga kini turut mula mengalami nasib sama.

Mengulas mengenai situasi semasa grid negara, Ahli Parlimen pembangkang, Ezio Angelini menjelaskan bahawa situasi semasa jauh berbeza jika dibandingkan dengan era sebelum tahun 1999, ketika itu Venezuela pernah menghasilkan sekitar 20,000 megawatt sehari dengan kadar penggunaan domestik hanya 12,000 megawatt.

“Sektor tenaga kita kini mengalami defisit yang nyata. Pada waktu ini, kapasiti pengeluaran negara hanyalah sekitar 12,000 megawatt sehari, sedangkan unjuran penggunaan harian rakyat telah mencecah 14,000 megawatt,” kata Angelini semasa sesi perbahasan parlimen.

Situasi tersebut diburukkan lagi dengan laporan data rasmi kerajaan yang menunjukkan permintaan tenaga negara melonjak sehingga 15,579 megawatt pada 7 Mei lalu—merekodkan paras permintaan harian tertinggi dalam tempoh sembilan tahun.

Sebagai langkah pemulihan jangka panjang, Parlimen Venezuela dilapor telah memulakan sesi perbincangan awal bulan ini bagi merangka reformasi undang-undang baharu.

Langkah itu bakal membuka pintu kepada kemasukan modal swasta untuk membiayai dan memulihkan sektor elektrik yang sebelum ini diletakkan di bawah kawalan penuh negara susulan tindakan nasionalisasi pada tahun 2007.

Dalam pada itu, Pengarah Korporat General Electric, Roger Martella menzahirkan keyakinan tinggi terhadap pelan pemulihan grid tersebut.

“Bagi tempoh 12 bulan akan datang dan seterusnya, kami komited untuk memperkukuh SEN ini ke tahap yang jauh lebih baik,” katanya.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.