Bertindak secara kolektif hadapi ketidakstabilan global – PM

Foto FB ASEAN

CEBU, 8 Mei – ASEAN terus menggesa kepada keamanan dan usaha meredakan ketegangan dalam krisis global, namun pada masa sama perlu bersikap realistik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketidakstabilan berpanjangan boleh mengekalkan harga tenaga tinggi dan mengganggu laluan perdagangan; tempoh pemulihan mungkin sehingga 18 bulan.
  • Kita mesti bertindak secara kolektif, bersepadu dan berpandangan jauh kerana tiada negara boleh menangani gangguan sendirian.
  • Memperkukuh momentum Deklarasi Kuala Lumpur: autonomi strategik, ketahanan ekonomi dan pertumbuhan mampan.
  • Perkukuh perkongsian maklumat, kerjasama konsular dan mekanisme kecemasan serta kerjasama antarabangsa untuk melindungi warganegara ASEAN di Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketidakstabilan yang berpanjangan boleh menyebabkan harga tenaga kekal tinggi dan mengganggu laluan perdagangan global untuk beberapa bulan akan datang.

Jelas beliau, tempoh pemulihan mungkin mengambil masa sehingga 18 bulan, bergantung kepada perkembangan geopolitik dan pembukaan semula laluan perdagangan kritikal.

“Tiada satu negara pun yang mampu menangani gangguan ini secara bersendirian. Tindak balas kita mesti bersifat kolektif, bersepadu dan berpandangan jauh.

“Dalam hal ini, kita harus membina momentum daripada Deklarasi Kuala Lumpur yang diterima pakai tahun lalu yang menegaskan komitmen bersama terhadap autonomi strategik, ketahanan ekonomi dan pertumbuhan mampan.

“Deklarasi tersebut mengiktiraf bahawa keselamatan tenaga, ketahanan makanan, kestabilan rantaian bekalan dan keterhubungan serantau yang lebih kukuh kini merupakan keperluan strategik, bukan sekadar isu sektor semata-mata,” katanya ketika berucap dalam Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Datuk seri Anwar turut menggesa ASEAN memperkukuh perkongsian maklumat, kerjasama konsular dan mekanisme tindak balas kecemasan bagi menjamin keselamatan warganegara ASEAN yang berada di Asia Barat.

Menurut beliau, kerjasama lebih rapat dengan rakan luar, organisasi antarabangsa dan pihak berkepentingan berkaitan adalah penting bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara.