
LIMBANG, 8 Mei – Kira-kira RM8 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah seluruh negara secara berfasa bagi memperkukuh aspek keselamatan institusi pendidikan.
- Kerajaan komited memperkukuh keselamatan sekolah melalui pemasangan CCTV secara berfasa.
- Beberapa sekolah sudah menerima pemasangan CCTV, manakala sebahagian lagi dalam perancangan pelaksanaan.
- Sebanyak RM272,875.50 disalurkan untuk penyelenggaraan kuarters guru, penambahbaikan prasekolah dan tangki air.
- Diserahkan papan pintar, 20 tablet serta peruntukan RM10,000 bagi memperkukuh pelaksanaan pendidikan digital.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan keselamatan warga sekolah sentiasa berada pada tahap terbaik.
Menurut beliau, beberapa sekolah telah mula menerima pemasangan CCTV manakala sebahagian lagi sedang dalam perancangan pelaksanaan.
“Setakat ini kita telah membelanjakan kira-kira RM8 juta dan usaha ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan isu keselamatan dapat dipantau secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Tindak Susul Parlimen (TSP) Siri 1 di Sekolah Kebangsaan Limpaku Pinang, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Fadhlina memaklumkan sebanyak RM272,875.50 disalurkan kepada sekolah berkenaan bagi melaksanakan beberapa projek pembangunan dan penyelenggaraan.
Peruntukan itu melibatkan kerja penyelenggaraan kuarters guru, penambahbaikan prasekolah serta menaik taraf tangki air bagi memastikan persekitaran pembelajaran lebih selesa dan kondusif untuk guru serta murid.
Bagi menyokong agenda pendigitalan pendidikan, sebuah papan pintar (Smartboard) sumbangan Yayasan Guru Tun Hussein Onn serta 20 unit tablet daripada Yayasan Didik Negara turut diserahkan kepada sekolah tersebut.
Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM10,000 menerusi Program Sokongan Profesional Dasar Pendidikan Digital bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif digital di sekolah berkenaan.
Pada majlis sama, sebanyak 33 set bantuan persekolahan turut disumbangkan kepada murid yang memerlukan.