
PUTRAJAYA, 8 Mei – Sebarang tuntutan pampasan oleh keluarga pelancong wanita warga India yang terjatuh ke dalam lubang benam di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, perlu
diputuskan oleh mahkamah.
- Sijil kematian mangsa sudah dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
- Keluarga menuntut pampasan dan merancang bertemu Hannah serta Datuk Bandar dalam beberapa minggu selepas sijil kematian dikeluarkan.
- Operasi mencari dan menyelamat besar-besaran dijalankan tetapi mangsa tidak ditemukan sejak kejadian 23 Ogos 2024.
Susulan kejadian berkenaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, sijil kematian mangsa sudah dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Terdahulu keluarga pelancong wanita warga India, G Vijaya Lakshmi, yang hilang selepas terjatuh ke dalam lubang benam di ibu negara dua tahun lalu dilaporkan sedang menuntut pampasan sewajarnya.
Beliau berkata perbincangan telah diadakan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud berhubung perkara berkenaan, dan difahamkan ahli keluarga mangsa akan pulang ke India terlebih dahulu sebelum mengadakan pertemuan dengannya.
Media sebelum ini melaporkan keluarga pelancong wanita G Vijaya Lakshmi, 48, sedang menuntut pampasan sewajarnya dan merancang mengadakan pertemuan dengan Hannah serta Fadlun dalam tempoh dua minggu hingga sebulan selepas sijil kematian Vijaya dikeluarkan semalam.
Pada 23 Ogos 2024, Vijaya dilaporkan terjatuh ke dalam lubang benam yang tiba-tiba terbentuk ketika berjalan di Jalan Masjid India.
Walaupun operasi mencari dan menyelamat dijalankan secara besar-besaran membabitkan pelbagai agensi, mangsa tidak ditemukan.
Pada 27 Feb lepas, keluarga mangsa menggesa kerajaan mengeluarkan sijil kematian bagi membolehkan tuntutan pampasan dimulakan.
Sebelum ini, Vijaya masih diklasifikasikan sebagai orang hilang dan atas sebab itu sijil kematian belum dapat dikeluarkan.
Hannah berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Tapak Perkhemahan Taman
Wetland Presint 13 Putrajaya.