Sekatan AS jejaskan sistem pembayaran di Cuba

FOTO REUTERS

HAVANA, 4 Jun – Cuba akan menggantung urus niaga menggunakan kad VISA dan MasterCard bermula Sabtu ini susulan sekatan Amerika Syarikat (AS) yang menyebabkan beberapa syarikat asing memutuskan hubungan dengan negara Caribbean itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bank Pusat Cuba berkata rakan asing yang memproses transaksi kad kredit mengehadkan operasi selepas perintah eksekutif AS 1 Mei.
  • Sekatan AS dilihat menjejaskan ekonomi Cuba dan sektor pelancongan yang sedia terjejas.
  • Transaksi dikendalikan bank asing dan Fincimex S.A., cabang GAESA; AS menuduh penguasaan tidak telus, tetapi Cuba menafikan dakwaan itu.

Menurut Bank Pusat Cuba pada Rabu, rakan asing yang sebelum ini memproses transaksi kad kredit di Cuba telah memutuskan untuk mengehadkan operasi selepas perintah eksekutif AS pada 1 Mei yang memperluas sekatan perdagangan terhadap negara itu.

Langkah tersebut dilihat memberi kesan kepada ekonomi Cuba serta sektor pelancongan yang sedia terjejas, ketika Washington terus memperketat sekatan terhadap Havana.

Transaksi kad kredit di Cuba sebelum ini dikendalikan oleh bank asing serta Fincimex S.A., iaitu cabang kewangan kepada konglomerat ketenteraan GAESA yang turut dikenakan sekatan oleh AS.

Washington menuduh GAESA menguasai secara tidak telus hasil daripada sektor utama negara termasuk pelancongan, kewangan, kiriman wang dan logistik, untuk kepentingan tentera serta golongan elit.

Namun, dakwaan itu dinafikan oleh kerajaan Cuba.

Perintah eksekutif berkenaan turut menyebabkan beberapa syarikat antarabangsa termasuk pengendali hotel, syarikat penerbangan dan firma logistik dilaporkan mula menarik diri dari Cuba dalam beberapa minggu kebelakangan ini. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.