
SABAK BERNAM, 4 Jun – Kerajaan Selangor memperuntukkan RM1 juta menerusi program geran padanan untuk pembangunan Pantai Bumi Hijau di Sungai Air Tawar di sini.
- Pantai Bumi Hijau semakin dikenali sebagai destinasi ekopelancongan, pengunjung mencecah lebih 3,000 orang sehari hujung minggu dan musim cuti sekolah.
- Kemudahan disediakan termasuk tandas awam tambahan, surau, kawasan riadah dan penambahbaikan infrastruktur untuk keselesaan pengunjung.
- Perancangan membina resort berkonsep alam dalam persekitaran hutan paya bakau untuk pengalaman ekosistem semula jadi.
- Pembangunan akan dikaji bersama Pejabat Daerah dan Majlis Daerah bagi memastikan kebersihan, pengurusan kumbahan dan kelestarian alam terpelihara.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, peruntukan itu digunakan bagi menyediakan pelbagai kemudahan termasuk tandas awam tambahan, surau, kawasan riadah serta penambahbaikan infrastruktur bagi keselesaan pengunjung.
“Dengan kemudahan yang disediakan kini Pantai Bumi Hijau semakin dikenali sebagai destinasi ekopelancongan baharu dengan kehadiran pengunjung dilaporkan mencecah lebih 3,000 orang sehari pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.
“Langkah memperkasakan destinasi pelancongan baharu itu merupakan sebahagian daripada pengisian utama Program Gagasan Rumpun Selangor daerah Sabak Bernam yang menjadi lokasi ketiga dalam siri jelajah tersebut selepas daerah Petaling dan Hulu Langat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Sabak Bernam 2026 di Pantai Bumi Hijau, Sungai Air Tawar di sini.
Jelasnya lagi, terdapat perancangan untuk membangunkan sebuah resort yang berkonsepkan alam semula jadi di kawasan itu.
“Resort tersebut akan dibina dalam persekitaran hutan paya bakau bagi membolehkan pengunjung menikmati keindahan ekosistem semula jadi.
“Apabila sesuatu pembangunan dilaksanakan, cabaran utama adalah memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara, termasuk menjaga kebersihan pantai serta menguruskan sistem kumbahan dan sisa dengan baik.
“Perkara ini penting kerana ia menjadi antara aspek yang dinilai pelancong, bukan sahaja dari dalam negara, malah dari luar negara.
“Sehubungan itu, perkara tersebut akan dibincangkan bersama pejabat daerah dan tanah serta majlis daerah, selain pihak berkaitan, bagi memastikan pembangunan kawasan dan resort dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Kawasan itu menawarkan pelbagai tarikan termasuk aktiviti mencari remis sepanjang tahun, menunggang kuda, perkhemahan keluarga, ‘flying fox’ serta keunikan pasar terapung yang beroperasi pada waktu malam.
Pada program tersebut, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan pasangan baginda, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz berkenan menyertai pelbagai aktiviti riadah di pantai berkenaan.
Baginda turut berkenan menyaksikan persembahan Reog, melepaskan benih udang galah dan ikan siakap bagi memelihara ekosistem perikanan, serta menyertai aktiviti penanaman semula pokok bakau di kawasan pesisiran pantai.