
JOHOR BAHRU, 24 Oktober – Skuad hoki remaja Malaysia menamatkan penantian selama 15 tahun untuk dinobatkan sebagai juara Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2026, selepas menewaskan Pakistan 4-3 menerusi penentuan penalti di Stadium Hoki Johor, di sini, malam tadi.
- Perlawanan akhir ditentukan menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada masa permainan sebenar.
- Pakistan membuka kedudukan melalui Waleed Rana pada minit ke-20 dan Muhammad Usman pada minit ke-23.
- Malaysia bangkit melalui jaringan Adam Johari pada minit ke-25 dan Dheeressh Gunaseelan pada minit ke-49.
- Penjaga gol Mohamad Adib Amsyar menyelamatkan dua penalti; jurulatih puji kematangan, susunan pasukan dan kemampuan mengekang serangan balas.
Perlawanan akhir itu terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada masa permainan sebenar.
Pakistan terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Waleed Rana pada minit ke-20, sebelum Muhammad Usman menggandakan kelebihan pasukan itu tiga minit kemudian.
Bagaimanapun, Malaysia bangkit merapatkan jurang menerusi jaringan Adam Johari dua minit selepas itu, sebelum Dheeressh Gunaseelan menyamakan kedudukan pada minit ke-49.
Ketika penentuan penalti, penjaga gol Young Tigers, Mohamad Adib Amsyar muncul wira pasukan apabila berjaya menyelamatkan dua percubaan Pakistan, sekali gus memastikan Malaysia menang 4-3 untuk menjulang kejuaraan.
Jurulatih Young Tigers, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, aksi pada perlawanan akhir itu mencerminkan kematangan pemain yang semakin meningkat, selain keupayaan mereka untuk bermain dengan lebih tersusun.
Peningkatan prestasi itu dapat dilihat menerusi kebolehan pemain mengekang serangan balas Pakistan, khususnya pada suku ketiga dan keempat perlawanan.
“Mereka bangkit semula selepas ketinggalan apabila dibolosi. Mereka tidak lagi bermain secara individu. Pergerakan pasukan lebih tersusun dan aspek teknikal juga semakin baik.
“Jika kita diberikan tempoh setahun lagi untuk beraksi menentang pasukan yang lebih kuat, saya rasa pasukan ini mampu pergi lebih jauh,” katanya.