Kim Jong Un selamat pulang selepas lawatan ke China

Kim Jong Un/ AFP

DANDONG, 24 Oktober – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, selamat pulang ke negaranya pada Sabtu selepas melakukan lawatan sehari ke bandar Dandong, di sempadan China.

RINGKASAN BERITA AI
  • Matlamat dan hasil lawatan tidak jelas; Xinhua tidak menyebut sebarang pertemuan dengan Xi atau Li Qiang.
  • Kim dipercayai menggunakan jambatan sempadan yang baru dibuka, dijangka memperkukuh hubungan ekonomi antara China dan Korea Utara.
  • Wang Huning mengiringi Kim dan menyampaikan salam Xi; lawatan dilihat mempererat kerjasama serta mungkin isyarat bagi perbincangan dengan AS.

Menurut media kerajaan Beijing, tujuan lawatan tanpa pengumuman awal itu masih belum jelas dan tiada maklumat mengenai pertemuan dengan rakan sejawatnya, Presiden China, Xi Jinping.

Kim dipercayai memasuki China melalui sebuah jambatan utama di sempadan yang dibuka secara rasmi minggu lalu, 12 tahun selepas pembinaannya siap. Jambatan itu dijangka memperkukuh hubungan ekonomi antara China dengan Korea Utara yang terasing dari segi diplomatik.

Korea Utara dan China tidak mengumumkan lawatan Kim lebih awal. Ahli Parlimen Korea Selatan, Youn Kun-young, berkata Kim difahamkan telah bertemu Perdana Menteri China, Li Qiang, pada Sabtu.

Bagaimanapun, laporan agensi berita Xinhua tidak menyebut sebarang pertemuan antara Kim dengan Xi atau Li. Sebaliknya, laporan itu menyatakan penasihat politik tertinggi China, Wang Huning, mengiringi Kim di Dandong dan mengucapkan selamat jalan kepadanya di jambatan berkenaan pada penghujung lawatan.

Matlamat dan hasil lawatan Kim masih belum jelas. Namun, China merupakan rakan dagang terbesar Korea Utara serta sumber penting sokongan diplomatik, ekonomi dan politik kepada Pyongyang.

Xinhua memetik Wang sebagai berkata lawatan itu penting bagi “memperkukuh hubungan persahabatan dalam kalangan rakyat, memperdalam kepercayaan politik bersama serta bersama-sama meneruskan kerjasama dan pembangunan”.

Beliau turut memaklumkan bahawa China dan Korea Utara perlu memperluas pertukaran rakyat, kerjasama ekonomi serta penyelarasan strategik bagi “mewujudkan persekitaran luaran yang aman dan stabil untuk melindungi kepentingan kedaulatan, keselamatan dan pembangunan masing-masing”.

Wang turut menyampaikan “salam mesra dan ucapan selamat” daripada Xi kepada pemimpin Korea Utara itu.

Lawatan berkenaan berlangsung hampir dengan tarikh yang diperingati kedua-dua negara bagi menandakan penyertaan tentera China dalam Perang Korea.

Menurut Xinhua, Kim menghadiri upacara memperingati anggota tentera yang terkorban selain melawat sebuah kilang automotif.

Laporan itu turut memaklumkan bahawa, diplomat tertinggi China, Wang Yi, turut menyertai acara berkenaan. Youn berkata beliau telah dimaklumkan pada Jumaat bahawa lawatan tersebut berkemungkinan berlangsung.

Dalam satu kenyataan kepada AFP, beliau berkata lawatan itu berpotensi menghantar “isyarat positif” berhubung kemungkinan sidang kemuncak antara Amerika Syarikat (AS) dengan Korea Utara.

Pemimpin dunia kini membuat persiapan menjelang Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) pada November di Shenzhen, China, ketika timbul spekulasi bahawa Kim mungkin bertemu Presiden AS, Donald Trump, pada acara berkenaan.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.