Harga RON95, RON97 tanpa subsidi turun 20 sen dan 30 sen

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Harga runcit tanpa subsidi bagi petrol RON95, serta RON97 dan diesel di Semenanjung turun antara 20 hingga 30 sen seliter, manakala harga RON95 bersubsidi bawah Program Budi MADANI (BUDI95) kekal RM1.99 seliter bagi tempoh 4 hingga 10 Jun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Kewangan umum harga runcit tanpa subsidi: RON95 RM3.72, RON97 RM4.35, diesel RM4.67.
  • Harga runcit diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal RM2.15; SKPS RM2.05, SKDS RM2.15.
  • Penurunan harga minggu ini selaras Mekanisme Harga Automatik akibat penyusutan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu.
  • Pasaran petroleum global masih berisiko tinggi; Kerajaan MADANI terus ambil pendekatan berhemah untuk lindungi rakyat dan jamin bekalan.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), penurunan harga runcit itu menjadikan RON95 tanpa subsidi kini pada harga RM3.72 seliter (turun 20 sen) dan RON97 tanpa subsidi RM4.35 seliter (turun 30 sen), manakala harga runcit diesel tanpa subsidi juga turun 20 sen kepada RM4.67 seliter.

“Bagi diesel, harga runcit bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter, sementara harga runcit bersubsidi menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) masing-masing kekal RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter.

“Selaras dengan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit petrol dan diesel bagi minggu ini diturunkan berikutan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, penurunan harga runcit minggu ini tidak menandakan pasaran petroleum global kembali stabil, sebaliknya masih terdapat risiko tinggi harga minyak mentah dan produk petroleum kekal tinggi dalam jangka sederhana.

Pada harga RON95 tanpa subsidi semasa RM3.72 seliter, penggunaan 200 liter akan menelan kos RM744.

“Ini bermakna Kerajaan MADANI menanggung sehingga RM346 bagi setiap penerima yang menggunakan kelayakan penuh BUDI95.

“Namun, dengan siling kelayakan bulanan sehingga 200 liter, penerima BUDI95 hanya membayar sehingga RM398 sebulan bagi penggunaan penuh kelayakan tersebut, ” menurut kenyataan itu.

Bagi mengimbangi kos sara hidup rakyat dan keperluan perbelanjaan fiskal secara berhemat, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.