Op Tembok: 55 ditahan, pusat hiburan dan lubuk judi haram diserbu

Polis menjalankan pemeriksaan di sebuah pusat hiburan haram di Jalan Chan Sow Lin/Foto Polis

KUALA LUMPUR, 24 Oktober – Seramai 55 individu ditahan dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Tembok di sekitar ibu negara hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan pusat hiburan di Jalan Chan Sow Lin; 50 ditahan, termasuk pekerja dan pelanggan warga China.
  • Polis merampas resit perniagaan, mikrofon, pemproses video LED, pembesar suara dan alat kawalan DJ profesional.
  • Serbuan di Persiaran KLCC: lima lelaki ditahan, dipercayai menjalankan perjudian daun terup setiap hari antara 1 pagi hingga 3 pagi.
  • Kes disiasat mengikut Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan), Akta Imigresen dan Akta Rumah Perjudian Terbuka; suspek direman untuk siasatan.

Operasi membabitkan sebuah pusat hiburan tidak berlesen dan kegiatan perjudian haram.

Ketua Polis Kuala Lumpur CP Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah pusat hiburan di Jalan Chan Sow Lin, dengan penahanan 50 individu berusia 19 hingga 44 tahun.

“Mereka terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan, 21 lelaki warga China yang merupakan pelanggan, lima lelaki warga China yang bekerja di premis itu serta 23 wanita warga China yang dipercayai bertugas sebagai pelayan khidmat pelanggan.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen hiburan yang sah atau kelulusan pihak berkuasa untuk beroperasi sebagai pusat hiburan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, pekerja warga asing di premis didapati bekerja tanpa permit sah dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Polis menjalankan pemeriksaan di sebuah pusat hiburan haram di Jalan Chan Sow Lin/Foto Polis

Dalam serbuan itu, polis merampas resit perniagaan, mikrofon, pemproses video LED, pembesar suara dan alat kawalan DJ profesional.

Sementara itu, serbuan kedua dijalankan di sebuah kediaman di Persiaran KLCC.

Dalam serbuan itu lima lelaki ditahan masing-masing berusia 27 hingga 44 tahun kerana disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian haram.

“Mereka terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan dan empat lelaki warga China.

“Siasatan mendapati kediaman itu dipercayai dijadikan lokasi perjudian haram sejak tiga bulan lalu, dengan operasi dijalankan setiap hari antara 1 pagi hingga 3 pagi,” katanya.

Kesemua suspek mengaku terbabit dalam permainan judi daun terup dan menerima jemputan daripada kenalan menerusi aplikasi media sosial.

Polis turut merampas sebuah meja, empat kerusi, dua dadu, sebuah mangkuk, 76 keping cip perjudian bernilai RM600, 52 keping daun terup serta wang pertaruhan berjumlah RM3,870.

“Kesemua individu yang ditahan dalam serbuan pertama akan dibawa ke hadapan Majistret untuk permohonan reman pada 25 Oktober.

“Manakala suspek dalam serbuan kedua direman selama tiga hari hingga 26 Oktober bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.