RTS Link: KDN pastikan aspek keselamatan di tahap tertinggi

RTS Link: KDN pastikan aspek keselamatan di tahap tertinggi

JOHOR BAHRU, 8 Mei – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memastikan aspek keselamatan berada pada tahap tertinggi di pintu masuk negara menerusi pengoperasian Sistem Transit Pantas (RTS) Link di Johor Bahru, bermula 31 Disember ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesiapsiagaan teknologi dan sumber manusia mencapai kemajuan fizikal sebanyak 90 peratus.
  • Kemudahan kawalan dilengkapi 18 mesin pengimbas bagasi, 22 pengimbas badan dan 10 walkthrough millimeter wave sedang dipasang dan diuji.
  • 794 waran perjawatan diluluskan; 478 pegawai baharu akan menjalani latihan operasi 22 Jun hingga 27 Sept.

Langkah ini bagi memastikan kedaulatan negara terpelihara seiring dengan penggunaan teknologi imigresen paling moden di rantau ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, tumpuan kini terarah kepada kesiapsiagaan aspek teknologi dan sumber manusia yang telah mencapai tahap kemajuan fizikal sebanyak 90 peratus.

Bagi menyokong tahap keselamatan tertinggi tersebut, kemudahan kawalan keselamatan RTS Link antaranya dilengkapi dengan 18 unit mesin pengimbas bagasi, 22 unit mesin pengimbas badan dan 10 unit mesin pengimbas walkthrough berteknologi millimeter wave yang ketika ini sedang dipasang dan diuji.

“Teknologi yang akan kita guna pakai menjanjikan kelancaran aliran penumpang, tetapi KDN tidak berkompromi dari segi tanggungjawab untuk memeriksa aspek keselamatan.

“Tiada toleransi terhadap cubaan mengelak pemeriksaan dan tidak akan ada ruang sama sekali kepada mana-mana pihak yang berhasrat menyalahgunakan sistem,” katanya dan menambah terdapat lebih 120 pintu masuk negara melibatkan darat, air dan laut.”

Beliau berkata demikian selepas meninjau kemajuan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Stesen Bukit Chagar, Johor Bahru.

Hadir sama Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Sebanyak 794 waran perjawatan bagi memastikan kesiapsiagaan sumber manusia susulan pengoperasian sistem transit berkenaan telah diluluskan dengan AKPS merupakan komponen terbesar, meliputi 640 perjawatan diikuti 107 perjawatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 47 Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Sekarang proses pengisian sedang dilakukan secara berperingkat supaya apabila operasi bermula nanti, kita tidak berdepan kekangan sumber manusia,” katanya

Menurut beliau, sebanyak 478 pegawai lantikan baharu itu akan mula menjalani latihan operasi di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Segamat bermula 22 Jun hingga 27 Sept ini.

Selepas itu, beliau berkata mereka akan ditempatkan dahulu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dekat Iskandar Puteri pada 1 Okt, sebelum pengoperasian sistem transit itu.

RTS Link Johor Bahru-Singapura yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada Januari tahun depan menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru ke Stesen Woodlands North di Singapura dengan tempoh masa perjalanan hanya lima minit.

Mengenai kerjasama dua hala, Malaysia dan Singapura telah mencapai kata sepakat mengenai pusat pemeriksaan setempat atau co-located CIQ.

Langkah penyelarasan undang-undang domestik juga telah selesai dan kini dalam fasa akhir pewartaan.