
TASEK GELUGOR, 8 Mei – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberikan jaminan harga beras negara akan kekal sama sehingga hujung tahun.
- Kerajaan memantau kenaikan harga import jagung dan soya yang memberi kesan langsung kepada pengguna serta peternak.
- KPKM mensasarkan 30% keperluan jagung bijian dihasilkan secara tempatan menjelang 2030 melalui pembangunan lebih 2,000 hektar di Perlis.
- Memperluas penanaman bawang besar besaran bersama LPP dan agensi berkaitan dengan sasaran menampung 30% bekalan tempatan dalam empat tahun.
- Kerajaan akan terus memantau pasaran, bersedia campur tangan bagi mengelakkan manipulasi dan memastikan bekalan makanan mencukupi.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata sehingga kini tiada perubahan harga beras di pasaran Malaysia walaupun konflik di Asia Barat mengancam harga minyak mentah global.
Beliau berkata, sehingga hujung tahun ini, kerajaan akan mengekalkan harga lama dan andai konflik Asia Barat berterusan, kerajaan akan memantau agar ia tidak membebankan rakyat dan tiada unsur manipulasi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Padang Menora, Kampung Guar Petai, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara.
Datuk Seri Mohamad Sabu, selain beras, kerajaan akan juga akan memberi fokus kepada kenaikan harga import jagung dan soya di pasaran global.
Ini kerana ia akan memberi kesan langsung kepada pengguna di Malaysia dan kerajaan telah pun menggerakkan usaha menanam jagung yang akan diusahakan di negeri Perlis dalam masa akan datang.
KPKM menyasarkan 30 peratus keperluan jagung bijian negara dapat dihasilkan secara tempatan menjelang 2030 termasuk melalui pembangunan lebih 2,000 hektar tanaman di Perlis yang akan dilancarkan bulan ini.
Beliau berkata KPKM turut memperluas penanaman bawang secara besar-besaran melibatkan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan agensi berkaitan, dengan sasaran menampung 30 peratus bekalan bawang tempatan dalam tempoh empat tahun akan datang.
Malaysia ketika ini, katanya, bergantung hampir 100 peratus kepada import jagung dan soya, yang menjadi antara faktor utama mempengaruhi harga ayam dan telur sekiranya berlaku kenaikan harga di pasaran antarabangsa.
“Makanan ternakan seperti jagung dan soya masih banyak bergantung kepada import. Apabila harga dunia naik, kos penternak kita pun naik. Bila minyak naik, kos nelayan keluar laut pun naik. Bila baja naik, kos petani pun naik.
“Walaupun puncanya di luar kawalan kita, kerajaan tidak boleh lepas tangan. Kerajaan mesti bekerja, bersedia dan pastikan bekalan makanan cukup,”
Mohamad berkata setakat ini harga makanan utama termasuk ayam, telur dan beras masih terkawal, namun kerajaan akan terus memantau keadaan termasuk kemungkinan manipulasi harga sekiranya kos import meningkat.