
BATU KAWAN, 8 MEI – Syarat ketat Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ke atas unit import kenderaan siap pasang (CBU) dikuatkuasakan bagi memastikan
Malaysia tidak sekadar menjadi pusat jualan sebaliknya muncul sebagai hab pengeluaran kenderaan elektrik, EV utama.
- Mendesak pengeluar global beralih kepada pemasangan tempatan (CKD) untuk memperkukuh pengeluaran kenderaan elektrik.
- Menawarkan lebih peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan mengurangkan kebergantungan jangka panjang kepada import.
- Pelaburan CKD oleh Proton, Perodua, Chery dan Zeekr membantu mengekalkan EV mampu milik, harga bawah RM200,000.
Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata langkah itu bertujuan mendesak pengeluar global untuk beralih kepada aktiviti pemasangan tempatan (CKD).
Ia mampu menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi buat bakat tempatan serta mengurangkan kebergantungan terhadap unit import sepenuhnya dalam jangka masa panjang.
Beliau berkata demikian dalam lawatan kerja ke Industri Pembungkusan Termaju Semikonduktor di Batu Kawan tengah hari tadi.
Menjawab kebimbangan mengenai kenaikan harga, beliau memberi jaminan pasaran masih mempunyai pilihan EV mampu milik melalui jenama yang komited dengan pemasangan tempatan.
Beberapa pengeluar utama termasuk Proton, Perodua, dan jenama antarabangsa seperti Chery serta Zeekr telah mula melabur dalam fasiliti CKD bagi memastikan harga EV kekal berpatutan di bawah RM200,000.