
SEREMBAN, 8 Mei – Masjid Negeri di sini akan ditutup sementara bermula esok bagi memberi laluan kepada kerja-kerja baik pulih dan naik taraf yang dijangka siap pada
November tahun hadapan.
- Peruntukan RM20.17 juta mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri memastikan Masjid Negeri terus berfungsi sebagai pusat sehenti masyarakat.
- Projek mengangkat konsep "Menghidupkan Semula Warisan, Mempertingkatkan Pengalaman Ibadah" gabungkan seni bina Islam moden dengan identiti asal masjid.
- Pelaksanaan mengambil kira keselamatan, keselesaan jemaah, kecekapan penggunaan ruang serta kemudahan mesra pengguna.
- Solat Jumaat sementara dibenarkan di Ballroom MAINS, Dataran Asnaf, Surau Taman Permai 2 dan Surau Kg Pondok Rasah; minima 40 jemaah.
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Mohd Zafir Ibrahim, usaha melibatkan peruntukan sebanyak RM20.17 juta itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan masjid berkenaan terus berfungsi dengan baik sebagai pusat sehenti masyarakat.
Selain memperkukuh peranannya sebagai mercu tanda kebanggaan negeri dalam aspek keagamaan dan pelancongan Islam.
“Kerja-kerja naik taraf ini membawa konsep ‘Menghidupkan Semula Warisan, Mempertingkatkan Pengalaman Ibadah’ yang menggabungkan seni bina Islam moden dengan identiti asal masjid menerusi elemen geometri, bentuk paraboloid dan prinsip simetri.
“Pelaksanaan projek ini turut mengambil kira keperluan semasa dan masa hadapan termasuk aspek keselamatan, keselesaan jemaah, kecekapan penggunaan ruang serta kemudahan mesra pengguna,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Pengisytiharan Penutupan Sementara Bangunan Masjid Negeri di Dewan Solat Utama Masjid Negeri Seremban.
Pengisytiharan penutupan telah disampaikan oleh Mufi Kerajaan Negeri, Prof Madya Dr Faudzinaim Badaruddin.
Sementara itu, Prof Madya Dr Faudzinaim memaklumkan, bermula 15 Mei 2026, kebenaran mendirikan solat Jumaat sementara diberikan di beberapa lokasi.
Ini termasuk Ballroom Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Dataran Asnaf di Aras 4 Menara MAINS, Surau Taman Permai 2, Seremban serta Surau Kampung Pondok Rasah.
“Kebenaran itu bersifat sementara sehingga surat pembatalan dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.
“Solat Jumaat hendaklah dilaksanakan secara berterusan dengan sekurang-kurangnya 40 jemaah daripada ahli Jumaat, manakala Jawatankuasa Surau pula perlu mematuhi segala arahan pihak berkuasa agama Islam negeri.
“Sehubungan itu, ahli kariah di bawah Masjid Negeri Negeri Sembilan boleh menunaikan solat Jumaat di mana-mana lokasi yang ditetapkan,” menurutnya.