RTM-Kotler Impact meterai MoU perkukuh agenda keusahawanan

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail (kiri) / RTM

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus memperkukuh peranannya sebagai hab kandungan dan pusat keilmuan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kotler Impact Sdn Bhd.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama fokus pembangunan keusahawanan dan pemasaran bagi membina ekosistem ekonomi yang lebih mampan.
  • RTM berperanan sebagai platform penyampaian ilmu, memperoleh kepakaran industri dan akademik tempatan serta antarabangsa.
  • Gabungan kepakaran Kotler Impact dengan kekuatan RTM dijangka memperkukuh penyampaian maklumat pemasaran dan menganjurkan World Marketing Summit 2026.

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, kerjasama strategik itu memberi fokus kepada pembangunan keusahawanan dan pemasaran dalam usaha membina ekosistem ekonomi yang lebih mampan.

Menurut beliau, RTM bukan sekadar berperanan sebagai penyiar awam, bahkan turut menjadi platform penyampaian ilmu dan maklumat kepada masyarakat.

“Dalam dunia yang sedang melalui pelbagai cabaran dan transisi ketika ini, RTM melihat aspek keusahawanan dan pemasaran sebagai antara perkara penting yang perlu diberi perhatian.

“Kita mahu membina sebuah negara keusahawanan yang kuat dengan melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan anak muda dan rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani MoU antara RTM dengan Kotler Impact Sdn Bhd di Bilik Persidangan Panorama, Menara Angkasapuri di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Program TV, Reza Shahriman Othman; Pengarah Bahagian Pemasaran dan Promosi, Kamal Roslim serta Timbalan Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa, Norfadzilah Hashim.

Delegasi syarikat itu pula diketuai Pengarah Urusannya, Rian Azman.

Tambah Ashwad, kerjasama tersebut turut membuka ruang kepada RTM untuk mendapatkan pandangan serta kepakaran daripada pakar industri dan akademik berkaitan pemasaran serta keusahawanan, sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Sementara itu, Rian Azman menyifatkan kerjasama menerusi gabungan antara kepakaran pemasaran dengan kekuatan RTM sebagai penyiar awam ini dijangka mampu memperkukuh penyampaian maklumat berkaitan landskap pemasaran semasa kepada masyarakat.

“Secara umumnya, Kotler Impact memberi tumpuan kepada bidang pemasaran yang diasaskan berdasarkan pemikiran pakar pemasaran antarabangsa, Profesor Philip Kotler.

“Kerjasama ini akan membolehkan mesej dan informasi berkaitan pemasaran semasa di Malaysia serta di peringkat global disampaikan dengan lebih berkesan,” katanya.

Menurut beliau, antara fokus utama kerjasama tersebut ialah penganjuran World Marketing Summit 2026 yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 4 dan 5 November depan.