Pingat Keberanian pertama setelah 30 tahun, Faris Danish wira muda BSMM

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Selepas tiga dekad tanpa penerima, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) hari ini menganugerahkan Pingat Keberanian kepada seorang murid tahun enam, Faris Danish Zulfadli.

RINGKASAN BERITA AI
  • Faris Danish nekad menyelamatkan rakan di Pantai Pasir Hitam; terjun dan memberi bantuan pernafasan (CPR) sebelum bantuan tiba.
  • Tindakan beliau didorong tanggungjawab dan ilmu unit beruniform sekolah, menunjukkan kepentingan latihan keselamatan awal.
  • BSMM memperkukuh kesiapsiagaan dengan membuka Pusat Operasi Kecemasan nasional dan Pejabat Bahagian Pengurusan Komuniti di ibu pejabat.
  • Profesor Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood dianugerahkan Keahlian Kehormat Sepanjang Hayat; BSMM juga melancarkan pakaian batik rasmi sebagai simbol penyatuan.

Keberanian luar biasa yang ditunjukkan oleh Ketua BSMM Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Ahmad, Langkawi itu menyelamatkan nyawa rakannya daripada lemas di Pantai Pasir Hitam, Februari lalu mendapat pengiktirafan tertinggi sempena sambutan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia 2026 yang bertemakan ‘Bersatu Untuk Kemanusiaan’.

Pengerusi Kebangsaan BSMM, Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah bahawa penganugerahan tersebut adalah merupakan detik bersejarah bagi organisasi itu.

“Ini adalah amanah saya yang paling tinggi untuk mengiktiraf khidmat beliau. Saya tidak mempunyai rekod siapa penerima terakhir, mungkin sudah 30 tahun tiada siapa yang menerima Pingat Keberanian ini.

“Kriterianya amat ketat iaitu kecemerlangan ‘luar biasa’ dalam memberi bantuan kecemasan menggunakan kemahiran menyelamat nyawa dalam situasi keberanian yang menonjol,” titah baginda.

Dalam kejadian di Pantai Pasir Hitam, Langkawi itu, Faris Danish bukan sahaja nekad terjun ke laut untuk menarik rakannya ke daratan, malah berjaya memberikan bantuan pernafasan (CPR) dengan sempurna sementara menunggu bantuan perubatan tiba.

Sementara itu, penerima pingat, Faris Danish menyifatkan tindakan tersebut dilakukan atas dasar tanggungjawab dan ilmu yang dipelajarinya dalam unit beruniform sekolah.

“Saya ada keberanian itu sebab dia kawan rapat saya. Saya ahli kelab PBSM, jadi saya mahu menolong supaya keadaan menjadi ringan. Saya lakukan CPR supaya dia kembali okey,” katanya ketika ditemui selepas majlis penganugerahan tersebut.

Dalam pada itu, pada majlis sama, BSMM turut mengukuhkan kesiapsiagaan operasinya melalui pembukaan dua fasiliti baharu iaitu Pusat Operasi Kecemasan Kebangsaan (EOC) dan Pejabat Bahagian Pengurusan Komuniti.

Fasiliti yang terletak di Ibu Pejabat BSMM itu merupakan aset penting dalam menyelaraskan bantuan bencana di seluruh negara secara lebih pantas dan efisien.

Majlis itu turut menyaksikan tokoh kemanusiaan global, Profesor Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, diangkat sebagai penerima Keahlian Kehormat Sepanjang Hayat yang ke-30.

Selain pengiktirafan individu, Tunku Puteri Intan Safinaz turut melancarkan pakaian batik rasmi BSMM sebagai simbol penyatuan identiti nasional dalam organisasi yang kini mencecah usia perkhidmatan lebih 160 tahun di peringkat antarabangsa.