
MEKAH, 8 Mei – Seramai 180 Sahabat Maktab bakal menjadi tulang belakang kelancaran operasi Masyair musim haji 1447 Hijrah menerusi penugasan proaktif di lapan maktab yang menempatkan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.
- Sahabat Maktab membantu urusan di peringkat maktab sehingga operasi Masyair termasuk pergerakan jemaah ke Arafah, Muzdalifah dan Mina.
- Mereka terbahagi kepada Sahabat Hujjaj, Sahabat Medik dan Sahabat Ibadat yang membantu pengurusan dan kebajikan jemaah.
- Ramai sukarelawan tampil membantu walaupun tidak disenaraikan secara rasmi sebagai anggota Sahabat Maktab.
- Semangat kebersamaan dan kesukarelawanan menjadi kekuatan utama memastikan kebajikan, keselamatan dan kelancaran pergerakan jemaah.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, program yang dilancarkan secara rasmi pada 8 Mei bersamaan 20 Zulkaedah itu melibatkan petugas yang menjadi komponen penting dalam membantu pengurusan jemaah sepanjang musim haji.
Menurut beliau, Sahabat Maktab berperanan membantu pelbagai urusan bermula daripada program di peringkat maktab sehingga ke kemuncak operasi Masyair melibatkan pergerakan jemaah ke Arafah, Muzdalifah dan Mina.
“Mereka ini akan bertugas bersama-sama sebagai komponen penting dalam menguruskan jemaah haji Malaysia tahun ini. Mereka terbahagi kepada Sahabat Hujjaj, Sahabat Medik dan Sahabat Ibadat yang utamanya membantu jemaah haji kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran program Sahabat Maktab di di sini, hari ini.
Menurut Mohd Hisham, musim haji kali ini turut memperlihatkan semangat sukarelawan yang tinggi dalam kalangan jemaah sendiri apabila ramai tampil membantu walaupun tidak disenaraikan secara rasmi sebagai anggota Sahabat Maktab.
Beliau berharap semua anggota Sahabat Maktab dikurniakan kesihatan yang baik agar setiap tugasan dapat dilaksanakan dengan sempurna sepanjang operasi Masyair berlangsung.
Sementara itu, salah seorang Sahabat Maktab, Hairul Iswandy Kadai berkata, penglibatan mereka didorong oleh semangat untuk terus berbakti dan membantu jemaah lain sepanjang berada di Tanah Suci.
“Ibadat ini luas, bukan semata-mata mengaji, berzikir dan sebagainya. Dari segi kita menyumbangkan kudrat membantu orang lain, saya percaya Allah juga mengiranya sebagai ibadat,” katanya.
Bagi seorang lagi sukarelawan, Nik Fatin Farahahim Nik Azri, minat untuk menyertai Sahabat Maktab timbul selepas melihat pengalaman sukarelawan lain menerusi media sosial.
“Tergerak hati untuk sertai Sahabat Maktab sebab tengok di TikTok bagaimana mereka membantu orang lain. Kami memang suka menolong orang dan dalam masa sama dapat belajar banyak perkara,” katanya.
Semangat kebersamaan dan kesukarelawanan itu dilihat terus menjadi kekuatan utama operasi haji Malaysia saban tahun, khususnya dalam memastikan kebajikan, keselamatan dan kelancaran pergerakan jemaah sepanjang operasi Masyair.