Nahas helikopter di barat daya England: Tiga anggota Tentera Laut Diraja terkorban

Pegawai forensik polis menjalankan siasatan di lokasi nahas sebuah helikopter Tentera Laut Diraja Britain yang terhempas di Sourton Down, berhampiran Okehampton, Devon pada 3 Jun 2026/Reuters.

BIRMINGHAM, 4 Jun- Tiga anggota Tentera Laut Diraja terkorban apabila sebuah helikopter Merlin Mk4 terhempas di sebuah padang di Devon, barat daya England semasa latihan dijalankan, menurut kenyataan pegawai pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkhidmatan kecemasan dikerah ke Sourton Down berhampiran Okehampton untuk operasi menyelamat di lokasi.
  • Penutupan jalan dilaksanakan di laluan A386 dan A30 bagi membolehkan pasukan penyelamat bekerja.
  • Jurucakap Tentera Laut menyampaikan takziah kepada keluarga serta rakan mangsa.
  • Ketua Turus, Jen. Sir Gwyn Jenkins, menyifatkan insiden itu sebagai kejutan besar dan berterima kasih kepada perkhidmatan kecemasan.

Perkhidmatan kecemasan dipanggil ke Sourton Down berhampiran Okehampton sejurus selepas nahas berlaku, menurut Polis Devon dan Cornwall. Penutupan jalan dilaksanakan di sekitar laluan A386 dan A30 bagi membolehkan pasukan penyelamat menjalankan kerja di lokasi kejadian.

Seorang jurucakap Tentera Laut Diraja berkata: “Dengan rasa amat dukacita, kami mengesahkan bahawa tiga anggota Tentera Laut Diraja maut semasa latihan helikopter dijalankan. Takziah kami ucapkan kepada keluarga serta rakan mangsa.”

Ketua Turus Tentera Laut Jen. Sir Gwyn Jenkins berkata beliau “amat sedih” dengan insiden berkenaan dan mengesahkan pesawat yang terlibat ialah sebuah Merlin Mk4. Beliau menyifatkan nahas itu sebagai “kejutan besar” buat komuniti tentera laut dan berterima kasih kepada perkhidmatan kecemasan atas tindakan pantas mereka.

Nahas itu berlaku pada awal pagi Rabu berhampiran kawasan latihan ketenteraan yang digunakan oleh kru helikopter di pinggir Dartmoor. -BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.