Iran dakwa tiga kapal tangki minyak terkena periuk api di Selat Hormuz

Foto AFP

TEHRAN, 29 Oktober –Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa tiga kapal tangki minyak terbakar selepas terkena periuk api ketika cuba melalui Selat Hormuz.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kapal mematikan semua sistem radar dan navigasi serta mengabaikan amaran tentera laut IRGC.
  • IRGC mendakwa laluan selatan dipasang periuk api dan memberi amaran bahawa pemilik serta kru bertanggungjawab atas keputusan menggunakan laluan itu.
  • UKMTO melaporkan sebuah kapal terbakar; punca, jumlah mangsa dan kaitan dengan dakwaan IRGC masih belum dapat disahkan.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, IRGC memaklumkan ketiga-tiga kapal itu meletup dan terbakar dalam tempoh 24 jam lalu ketika melalui laluan selatan yang disifatkan tidak dibenarkan.

Menurut kenyataan itu, kapal berkenaan mematikan semua sistem radar dan navigasi serta mengabaikan amaran daripada tentera laut IRGC.

Bagaimanapun, masa sebenar kejadian berlaku dan negara bendera yang didaftarkan pada kapal terbabit masih belum dapat dipastikan.

Sejak perang tercetus pada 28 Februari lalu, Iran mengehadkan dengan ketara pergerakan kapal melalui laluan strategik itu, yang lazimnya menyalurkan kira-kira satu perlima daripada penggunaan minyak dan gas dunia.

Sebagai tindak balas, Amerika Syarikat mengenakan sekatan terhadap pelabuhan Iran.

Angkatan tentera Iran berulang kali menuduh Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM), yang menyelia operasi ketenteraan negara itu di rantau berkenaan, menggalakkan kapal menggunakan koridor selatan berhampiran pantai Oman yang dianggap Tehran sebagai laluan tidak dibenarkan.

IRGC turut menegaskan bahawa laluan berkenaan telah dipasang periuk api, sambil memberi amaran bahawa pemilik dan kru kapal bertanggungjawab terhadap keputusan menggunakan laluan itu.

Dalam kenyataan sama, IRGC menggesa pihak terlibat supaya tidak mempercayai kenyataan CENTCOM di media sosial berhubung laluan berkenaan.

Terdahulu pada Khamis, Agensi Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) melaporkan menerima maklumat mengenai sebuah kapal yang terbakar di Selat Hormuz.

Bagaimanapun, punca kebakaran dan kemungkinan jumlah mangsa masih belum diketahui. Belum dapat dipastikan sama ada kapal itu termasuk dalam tiga kapal yang didakwa oleh IRGC. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.