RKB perlu jadi budaya kerja harian perkhidmatan awam

Foto RTM

SHAH ALAM, 29 Oktober – Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) perlu dijadikan budaya kerja harian dalam perkhidmatan awam dan bukannya terhad kepada pelaksanaan projek atau acara tahunan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perubahan budaya kerja yang utamakan pengguna, penggunaan data dan penambahbaikan berterusan proses.
  • Reformasi mesti bermula dengan empati; pasukan meneliti proses langkah demi langkah dan menyemak dokumen.
  • Laksanakan pembaharuan proses sebelum pendigitalan untuk elak pembentukan birokrasi digital; negeri lantik CRO, JPA bekerjasama dengan MPC.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr Mohd Bakhari Ismail berkata, amalan tersebut selaras dengan usaha meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan peniaga.

Tambahnya reformasi itu memerlukan perubahan budaya kerja yang mengutamakan keperluan pengguna, penggunaan data serta usaha berterusan menambah baik proses sedia ada.

“Reformasi bermula dengan empati. Projek-projek reformasi yang paling berjaya terbukti apabila setiap pasukan berani meletakkan diri mereka di tempat pengguna, meneliti proses langkah demi langkah dan menyemak dokumen demi dokumen,” katanya.

Datuk Dr Mohd Bakhari berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup Persidangan Nasional RKB 2026 bagi mewakili Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, di sini, pada Khamis.

Menurut beliau, sebanyak 159 projek RKB daripada 28 kementerian dan 14 negeri telah dibentangkan serta dinilai oleh panel daripada sektor awam dan swasta sepanjang dua hari persidangan itu.

Tegasnya, pembaharuan proses kerja perlu dilaksanakan sebelum pendigitalan bagi mengelakkan pembentukan birokrasi digital yang hanya memindahkan proses rumit sedia ada ke platform digital.

Dalam pada itu, beberapa kerajaan negeri telah mula melantik Ketua Pegawai Reformasi (CRO) di peringkat jabatan, pejabat daerah dan tanah, pihak berkuasa tempatan serta badan berkanun negeri bagi memastikan agenda berkenaan digerakkan secara lebih tersusun.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan terus bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk memperkukuh kapasiti penjawat awam ke arah perkhidmatan yang lebih produktif, berasaskan data dan responsif terhadap keperluan rakyat.

Persidangan itu turut menyaksikan penyampaian Penghargaan Poster RKB Terbaik kepada tiga pemenang, Anugerah Khas kepada dua penerima di peringkat kementerian dan negeri serta Anugerah Platinum kepada 30 pemilik projek yang menunjukkan impak jelas dan boleh diukur.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.