
MIAMI, 16 Jun – Gol penyamaan daripada pemain sayap, Maxi Araujo pada lewat permainan menyelamatkan maruah Uruguay daripada dimalukan apabila sekali gus mengikat keputusan seri 1-1, menentang Arab Saudi sekali gus dalam aksi pembukaan Kumpulan H, Piala Dunia di sini, semalam.
- Kumpulan H kekal terbuka selepas Sepanyol sekadar seri 0-0 menentang Cape Verde.
- Arab Saudi menjaringkan gol pada minit ke-41 melalui Alamri selepas tandukan Mohamed Kanno dari sepakan penjuru.
- Marcelo Bielsa melakukan dua pertukaran babak kedua, memperkemas permainan Uruguay dan melancarkan asakan bertubi-tubi.
- Penjaga gol Mohammed Alowais membuat beberapa penyelamatan penting untuk memastikan Arab Saudi membawa pulang satu mata berharga.
Keputusan itu turut menyaksikan saingan Kumpulan H kekal terbuka selepas pasukan pilihan utama kejohanan yang juga juara Eropah, Sepanyol, sekadar mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan menentang Cape Verde dalam satu lagi perlawanan terdahulu.
Pada perlawanan berkenaan, Uruguay, juara Piala Dunia edisi 1930 dan 1950, sebenarnya hampir menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-5 menerusi rembatan lencong Araujo namun berjaya ditepis keluar penjaga gol Arab Saudi, Mohammed Alowais.
Serangan bertali arus yang dilancarkan Uruguay gagal menembusi pertahanan ampuh Arab Saudi menyebabkan para penyerang dan pertahanan mulai leka.
Kesempatan itu diambil oleh Arab saudi untuk melancarkan serangan balas bagi mencari gol.
Gol yang dicari akhirnya menjelma pada minit ke-41. Berpunca daripada sepakan penjuru Musab Aljuwayr, pemain tengah Mohamed Kanno melepaskan tandukan yang berjaya diselamatkan oleh Fernando Muslera.
Namun Alamri bijak menghidu peluang untuk menolak masuk bola muntah bagi meletakkan Arab Saudi di hadapan.
Memasuki babak kedua, pengendali Uruguay, Marcelo Bielsa melakukan dua pertukaran bagi mengubah corak permainan.
Strategi itu membuahkan hasil apabila asakan La Celeste mula kelihatan lebih tersusun dengan hantaran lintang yang berbahaya ke dalam kotak penalti.
Uruguay sekali lagi hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-60 menerusi pemain tengah , Manuel Ugarte, namun rembatan sekadar menggegar tiang gol ketika Alowais sudah pun tertewas.
Asakan bertali-arus Uruguay akhirnya membuahkan hasil 10 minit sebelum tamat perlawanan.
Tandukan Federico Vinas sekali lagi berjaya dinafikan oleh Alowais.
Namun bola yang melantun terus disambar oleh Araujo untuk dikuis masuk gawang gol.
Uruguay terus mempertingkatkan tekanan pada minit-minit terakhir perlawanan untuk memburu gol kemenangan, namun dua percubaan berbahaya daripada Federico Valverde dan Jose Maria Gimenez berjaya diselamatkan oleh Alowais bagi memastikan Arab Saudi pulang dengan satu mata berharga.
Bagi Arab Saudi, keputusan seri ini memberikan tonik terbaik buat mereka untuk memburu tiket ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak kali terakhir melakukannya pada edisi 1994. – REUTERS