Piala Dunia: Buru tiga mata, Norway tagih bisa Haaland

Penyerang Norway, Earling Haaland / REUTERS

BOSTON, 16 Jun – Pengendali Norway, Stale Solbakken percaya penyerang sensasi, Erling Haaland berada pada tahap terbaik untuk memberikan aksi terbaiknya dalam usaha memimpin negara itu melakar kejutan selepas menamatkan kemarau 28 tahun di pentas Piala Dunia, esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Norway mulakan kempen Kumpulan I menentang Iraq di Boston, penampilan Piala Dunia pertama mereka sejak 1998.
  • Norway layak dengan rekod sempurna; termasuk dua kemenangan ke atas Itali dan Haaland meledak 16 gol kelayakan.
  • Solbakken puji Haaland sebagai mesin gol dunia, cergas dan mendapat rehat mencukupi; berharap rakan sepasukan beri hantaran berkualiti.
  • Solbakken enggan memandang rendah Iraq; tiga mata penting dalam kumpulan sukar bersama Perancis dan Senegal.

Gergasi Scandinavia itu bakal memulakan kempen Kumpulan I menentang Iraq di Boston pada Selasa, sekali gus menandakan penampilan pertama mereka di panggung bola sepak terbesar dunia itu sejak kali terakhir melakukannya pada tahun 1998 di Perancis.

Norway mengesahkan tiket ke Piala Dunia dengan rekod kelayakan yang sempurna, termasuk melakar kejayaan menewaskan juara dunia empat kali, Itali, sebanyak dua kali dengan Haaland meledak 16 gol sepanjang kempen berkenaan.

Kini, penyerang prolifik Manchester City itu bersedia untuk melakukan penampilan pertamanya di pentas Piala Dunia, kejohanan yang pernah melonjakkan namanya apabila dia menjaringkan sembilan gol dalam satu perlawanan Piala Dunia Bawah 20 Tahun pada 2019.

“Sangat besar harapan kami untuk melihat dia memberikan impak yang sangat besar,” kata Solbakken, 58, yang merupakan pemain tengah skuad Norway ketika kali terakhir negara itu beraksi di Piala Dunia 28 tahun lalu.

Haaland hadir ke kejohanan ini dengan reputasi hebat selepas memenangi Kasut Emas Liga Perdana Inggeris buat kali ketiga dalam tempoh empat musim, selain mengumpul rekod luar biasa bersama skuad kebangsaan dengan 55 gol daripada 50 penampilan.

“Dia adalah mesin gol kami. Pada pandangan saya, dia ialah penyerang terbaik di dunia ketika ini. Fizikalnya sangat cergas dan dia mendapat rehat yang mencukupi pada penghujung musim domestik lalu.

“Prestasi dan rentaknya dalam sesi latihan di sini semakin meningkat dari hari ke hari. Dia berada di tahap yang dimahukannya dan saya berharap rakan sepasukan dapat membekalkan hantaran-hantaran berkualiti yang dia perlukan untuk menjaringkan gol. Jika anda memberi Erling peluang, dia jarang mengecewakan,” ujar Solbakken kepada media pada Isnin.

Di sebalik status mereka sebagai pasukan pilihan untuk aksi esok, Solbakken enggan memandang rendah keupayaan Iraq, yang turut membuat kepulangan semula ke Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 40 tahun.

Beliau menyedari kepentingan mengutip tiga mata penuh dalam kumpulan maut yang turut dihuni oleh juara dunia dua kali, Perancis, serta gergasi Afrika, Senegal.

“Kami berada dalam kumpulan yang sangat kompetitif, mungkin yang paling sukar antara semua kumpulan. Jika kami mampu bermula dengan tiga mata, ia akan mencerahkan laluan kami. Kami tidak boleh berselindung bahawa ini adalah perlawanan yang amat penting,” katanya lagi.

Bagi Solbakken, yang juga sebahagian daripada skuad Norway pada Euro 2000 iaitu kejohanan utama terakhir negara itu sebelum ini, tugasan mengemudi pasukan esok bakal menjadi detik paling membanggakan dalam kariernya.

“Bagi mana-mana warganegara, mengetuai negara sendiri dalam perlawanan sebesar ini, terutamanya selepas 28 tahun melalui fasa kekecewaan, ia adalah perkara paling agung dan berada di kedudukan nombor satu dalam senarai impian saya,” tambahnya. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.